TAKRIFAN DAN ISTILAH
Istilah sastera terkumpul konsep, ciri, bentuk, pendekatan yang digunakan, fungsi karya dan pengarang. Malah secara umumnya, menjadi ruang ilmu dan falsafah sastera orang Melayu. Takrif daripada istilah dan konsepnya ini akan menjadi pemandu arah sampai kepada tujuan besar (Mohammad haji Salleh, 2021: 21). Sastera adalah perkataan yang berasal daripada bahasa Sanskrit (castera) yang membawa maksud Kitab Suci Hindu. Walau bagaimanapun, perkataan ini bukanlah yang terbaik sekali untuk digunakan buat suatu bidang yang mencakupi karya naratif dan puisi (Warder, 1972:1). Menurut definisi awal, “sastra” hanyalah sebahagian sahaja daripada tiga bahagian yang tercakup dalam daerah liputannya, iaitu bidang sastera sebagai suatu bentuk kesenian. Dua bahagian lain yang tercakup di bawahnya ialah agama dan sejarah (1972: 31). Akan tetapi, perlu diketahui bahawa istilah sastera pernah digunakan untuk menamakan semua jenis karya yang tergolong sebagai pengetahuan. Ringkasnya, erti khusus di sini memperlihatkan perbezaannya yang jelas daripada bidang kesenian yang bukan menjadi sebahagian daripada ilmu pengetahuan tetapi lebih dekat kepada karya kreatif dan imaginatif (Muhammad Haji Salleh, 2021: 21). Jika istilah kesusasteraan ini seperti yang sedia maklum berasal dari Sanskrit iaitu terdiri daripada perkataan ‘su’ yang bererti elok, indah dan cantik, manakala perkataan ‘sas’ pula bermaksud berikan panduan dan ‘tera’ yang bermaksud media, karya, bahan atau pemikiran pengarang. Dalam makna lain, ‘susastera’ ialah sebuah karya Bahasa yang memiliki ciri-ciri Istimewa dan bernilai seni dalam penciptaannya. Ini dilengkapi dengan apitan ‘ke-…an’ yang bermaksud kesenian bersifat halus, indah dan kata-kata yang suci sama ada karya dalam bentuk tulisan atau bukan tulisan (Md Hasri, 2013). "Susastera" pula bermaksud suatu kesenian yang diciptakan dengan bahasa, tulisan atau lisan yang diungkapkan dengan bahasa yang indah atau karya-karya bertulis yang mempunyai seni yang murni, indah dari segenap segi, iaitu bentuk bahasa, isi, penyampaian dan maknanya. Kesusasteraan ialah hasil seni yang dilahirkan dengan keindahan bahasa yang merupakan kumpulan lebih dari satu ciptaan susastera. Ringkasnya, karya-karya yang berbentuk karangan bercorak prosa seperti novel, cerpen, hikayat, puisi, lirik dan drama yang mampu menawan perasaan. J.L. Robertson seorang sasterawan berpendapat bahawa “kesusasteraan ialah ucapan yang berseni dalam kata-kata dari apa yang difikir, dirasai, diingati atau yang dikhayali” (Ismail Yusof, 2008: 1). Demikian pula dengan merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, kesusasteraan didefinisikan sebagai sebuah bentuk seni yang menggambarkan keindahan dengan bahasa, karang-mengarang, persuratan, seni sastera.
Kesusasteraan juga menyajikan teks dengan susunan ayat menerusi kata-kata yang indah, mengetengahkan sesuatu daripada kepelbagaian aspek kehidupan masyarakat yang melahirkannya. Tidak dinafikan bahawa kesusasteraan seakan mempunyai pertalian yang akrab dengan segala bentuk yang wujud dalam pengalaman dan kehidupan sesuatu masyarakat itu. Memetik kenyataan Sahlan Mohd. Saman & Shaiful Bahri Md. Radzi (2005:11), bahawa Kesusasteraan Melayu itu adalah satu proses yang berterusan daripada zaman tradisional melampaui moden hingga ke zaman kontemporari kini.
Latihan/Exercises
https://www.academia.edu/8060073/KESUSASTERAAN_MELAYU
Bahasa, tulisan atau lisan yang baik dan indah
Hasil seni yang diwujudkan dengan bahasa
https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=novel&d=175768&