SASTERA DI ERA DIGITAL: SATU EVOLUSI

OBJEKTIF PEMBELAJARAN 

  • Memahami peralihan dan perkembangan sastera lisan, sastera tulis sehingga sastera digital
  • Mengenali jenis-jenis sastera digital

Pengenalan

Perkembangan ilmu dalam pelbagai bidang hari ini telah memberi impak terhadap tahap perkembangan pengajian kesusasteraan Melayu termasuklah ilmu sains dan teknologi. Perkembangan teknologi mempengaruhi kehidupan sejagat sehingga mempengaruhi bidang penulisan dan sastera. Teknologi digital telah menerajui gerbang pengajian kesusasteraan Melayu dengan munculnya kajian sastera digital hari ini. Seperti yang telah dijelaskan dalam bahagian satu iaitu pengenalan kepada kesusasteraan Melayu Tradisional bahawa sebelum kewujudan teknologi mesin cetak, media dan komputer malah sebelum manusia tahu membaca dan menulis lagi sastera telah berkembang melalui sastera lisan yang memiliki nilai estetikanya tersendiri.

 

Sumber: Idea asal penulis
Gambar rajah : Evolusi Sastera Melayu Tradisional-Moden-Era Digital                                 Sumber: Idea asal penulis

           Menyingkap sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu hari ini, tradisi lisan muncul apabila dikatakan dunia Melayu mula menerima pengaruh luar iaitu dari India namun sistem tulisan yang diperkenalkan tidak meluas dan akhirnya pupus. Kemudian sistem tulisan Jawi berdasarkan sumber al-Quran telah diperkenalkan dengan kedatangan agama Islam yang kemudiannya disesuaikan dengan sebutan dalam bahasa Melayu.  Istana merupakan pusat perkembangan kesusasteraan dan melahirkan tokoh-tokoh sasterawan Melayu yang menghasilkan karya sama ada asli atau salinan semula.

        Seiring dengan era pendigitalan, karya sastera dapat dinikmati dengan lebih meluas dan tidak hanya secara konvensional. Sastera digital atau pendigitalan sastera menampilkan bahan sastera dalam bentuk digital yang disajikan dalam pelbagai media seperti teks, audio, visual, imej dan audio-visual. Dengan adanya perkembangan teknologi maklumat yang sedia ada sehingga hari ini membolehkan sesuatu bidang diterokai oleh khalayak ramai tanpa batas dan di mana juga berada. Pelbagai  elemen multimedia dan platform digital wujud hari ini dalam arus perkembangan kesusasteraan Melayu. Tamsilannya e-book, podcast, audiobook, blogspot dan sebagainya dalam bentuk media digital.

             Buku audio merupakan buku yang berbentuk suara yang dirakam oleh seseorang pencerita. Yakni boleh diakses pada bila-bila masa dengan hanya menggunakan peralatan elektronik dan teknologi seperti radio, pita rakaman, telefon pintar mahupun komputer. Pada tahun 1877, buku audio telah diperkenalkan oleh Thomas Edison dengan memperkenalkan alat perakam pertama, iaitu fonograf. Beliau membaca dan merakam Mary had a little lamb yang merupakan bacaan pertama kanak-kanak ketika itu (2021: 19).

         Demikianlah dengan memetik kenyataan Baskin dan Harris (1995: 372-376) bahawa konsep buku audio adalah seperti kesusasteraan awal dahulu, iaitu “first literature was heard not read”. Buku audio (audiobooks) merupakan sebuah buku yang diversikan dalam bentuk audio dan terdapat pembaca yang membaca buku tersebut kemudian akan dirakam dalam bentuk suara. Apa yang lebih menarik lagi, pembaca yang merakam suara perlu mahir mengolah kata dengan bahasa verbal secara kreatif agar tidak membosankan pendengar (Madiawati Mamat, Tengku Intan Marlina Tengku Mohd. Ali, Nurhamizah Hashim dan Nur Asyirah Hazari, 2021: 17).  Kajian-kajian lepas seringkali memberikan penelitian dalam konteks sejauh mana kah keberkesanan buku audio dapat membantu pelajar sekolah serta pelajar berkeperluan khas dalam meningkatkan prestasi keseronokan membaca, meningkatkan kemahiran pemahaman di kalangan pelajar dan kesannya secara psikologi kepada pembaca. Kajian mengenai buku audio masih agak kurang ditelitikan secara rinci melainkan perbincangan secara umum.

           Sejarah perkembangan buku audio di Malaysia dapat dilihat dengan adanya rakaman-rakaman buku oleh syarikat penerbitan atau institusi-institusi tertentu. Sebagai contoh, Nusantara Audiobooks yang telah ditubuhkan pada tahun 2017 ialah platform yang menawarkan buku audio yang menggunakan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Indonesia yang mengangkat karya-karya agung atau klasik yang bersifat Nusantara sekaligus merupakan buku audio tempatan pertama di Malaysia.

 

 

 

definition

License

Icon for the Creative Commons Attribution-ShareAlike 4.0 International License

Kesusasteraan Melayu: Satu Pengenalan Copyright © 2024 by Fatin Najla Omar is licensed under a Creative Commons Attribution-ShareAlike 4.0 International License, except where otherwise noted.

Share This Book