PRAKATA

Buku KESUSASTERAAN MELAYU: SATU PENGENALAN ini menghimpunkan lima bab yang memberi fokus kepada asas dalam bidang Kesusasteraan Melayu Tradisional dan Kesusasteraan Melayu Moden. Bagi memudahkan khalayak pembaca sastera memanfaatkan bahan yang dibincangkan, maka buku ini dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama, merangkumi kepada enam subtopik iaitu Kesusasteraan Melayu Tradisional yang meliputi pengenalan kepada Kesusasteraan Melayu Tradisional, Bentuk dan Isi Kesusasteraan Melayu Tradisional, Sastera Lisan: Berbentuk Naratif, Sastera Lisan: Berbentuk Bukan Naratif, Sastera Tulisan: Berbentuk Naratif dan Sastera Tulisan: Berbentuk Bukan Naratif. Manakala, bahagian dua pula peralihan kepada pengenalan Kesusasteraan Melayu Moden seperti Cerpen, Novel, Drama, Sajak dan Esei Kritikan. Dua bahagian ini merupakan nadi kepada jalur perkembangan dalam bidang Kesusasteraan Melayu yang perlu dipelajari dan difahami bagi mereka yang ingin menerokai bidang sastera. Seiring dengan perubahan masa dan perkembangan teknologi, bidang sastera juga turut mengikuti arus perkembangan di era digital. Justeru, buku ini turut membincangkan topik asas kepada Sastera di Era Digital Sebagai Satu Evolusi. Jika ditelitikan ilmu Sastera Melayu secara terperinci, ia menunjukkan satu perjalanan yang panjang dan luas meliputi lakaran sejarahnya. Walau bagaimanapun, buku ini hanya menumpukan aspek pengenalan awal secara dasar sahaja yang meliputi asas kepada Kesusasteraan Melayu Tradisional dan Moden sebagai permulaan. Khalayak pembaca yang menelaah buku ini diharapkan mendapat ilmu yang bermakna dengan gaya penulisan yang ringan dan mudah untuk difahami khususnya sebagai rujukan pelajar di peringkat institut pengajian tinggi Malaysia mahupun peringkat prauniversiti.  Semoga buku interaktif ini bermanfaat kepada mahasiswa yang berminat mempelajari dan menerokai bidang kesusasteraan Melayu diperingkat awal.

              Di samping itu, penulis juga ingin menzahirkan seluas-luasnya penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Universiti Malaysia Sabah atas peluang yang bermakna dalam melakar pengalaman menerusi penulisan ini agar dapat berkongsi ilmu yang bermanfaat. Juga tidak dilupakan ucapan terima kasih kepada ahli-ahli iOTB yang berkongsi pengetahuan bersama sepanjang proses menyiapkan buku Kesusasteraan Melayu: Satu Pengenalan. Penghargaan ini juga ditujukan kepada Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) khususnya Dekan, Prof. Madya Dr. Zairul Anwar Md. Dawam yang sentiasa memberikan sokongan moral dan galakan kepada penulis untuk menyiapkan buku ini. Akhir sekali, terima kasih kepada penilai juga selaku penyunting yang meluangkan masa dan kerjasama yang diberikan untuk menyunting buku ini. Semoga bermanfaat dan selamat membaca.

 

Fatin Najla Omar

 

License

Icon for the Creative Commons Attribution-ShareAlike 4.0 International License

Kesusasteraan Melayu: Satu Pengenalan Copyright © 2024 by Fatin Najla Omar is licensed under a Creative Commons Attribution-ShareAlike 4.0 International License, except where otherwise noted.

Share This Book