3 SASTERA LISAN: BERBENTUK NARATIF

 

“Kesusasteraan rakyat adalah sastera yang hidup di tengah-tengah rakyat. Dituturkan oleh ibu kepada anaknya yang dalam buaian. Tukang cerita juga menuturkannya kepada penduduk kampung yang tidak bisa membaca”.

(Liaw Yock Fang, 2011:1)

 

Sebenarnya sastera rakyat yang juga dikenali dengan nama tradisi lisan mencakup suatu bidang yang luas. Misalnya ungkapan, peribahasa, nyanyian, tarian, adat resam, undang-undang, teka-teki, permainan, kepercayaan dan perayaan. Pada amnya, Mohd. Taib Osman (1982) membahagikan tradisi lisan kepada tiga komponen asas seperti tradisi berbentuk pelakuan (behaviour) yang merujuk kepada pemilik yang mengamalkan adat-resam, perubatan tradisional, perayaan, teater tradisional, permainan rakyat dan tarian. Kedua, tradisi budaya benda (material culture) yang merujuk kepada artifak-artifak warisan seperti busana, alat muzik, seni bina, alat persenjataan, anyaman, tembikar dan tetunan. Manakala, komponen yang ketiga ialah tradisi berbentuk pengujaran (verbalized).  Tradisi lisan jenis ini meliputi apa sahaja bentuk tradisi yang diujarkan pengucapannya melalui mulut dan turut dikenali sebagai sastera rakyat atau sastera lisan (Sahlan Mohd. Saman & Shaiful Bahri Md. Radzi, 2005: 15).

         Berdasarkan komponen asas yang telah dinyatakan, maka pengertian tradisi lisan sejajar dengan folklor (folklore). Menurut James Danandjaja (1986, 2) telah menjelaskan bahawa kata folk merujuk kepada sekumpulan manusia yang mempunyai ciri-ciri pengenalan fizik, sosial dan kebudayaan yang dapat dibezakan dengan kumpulan yang lain. Sementara lore pula merujuk kepada apa sahaja berbentuk tradisi lisan yang dimiliki oleh kumpulan manusia (folk) itu.

            Cerita rakyat merupakan cerita yang disampaikan secara lisan dan biasanya berfungsi sebagai hiburan dan pendidikan. Ceritanya pendek, tidak skematik dengan gaya bahasa yang stailistik dan formulaik seperti bentuk roman lipur lara atau cerita pari-pari. Kebanyakkannya cerita rakyat berbentuk prosa berbanding dengan cerita lipur lara yang bersifat separuh prosa. Cerita rakyat yang amat popular dan tersebar luas dalam kalangan rakyat jelata ialah cerita jenaka seperti Pak Pandir, Lebai Malang dan Si Luncai (Kamus Kesusasteraan, 2015: 66).

Cerita rakyat terbahagi kepada beberapa jenis (kisah atau naratif) antaranya:

  • Cerita Asal-usul
  • Cerita Binatang
  • Cerita Jenaka
  • Cerita Pelipur Lara
  • Cerita legenda

           Kedatangan Islam ke timur pada abad ke-14 dan ke-15 bukan sekadar membawa pengaruh agama Islam tetapi juga memperkenalkan sistem tulisan iaitu tulisan Jawi. Bagaimanapun, pada waktu itu, sastera bertulis hanyalah bertempat di istana. Perkara tersebut disebabkan perkembangan Islam tertumpu di istana dan golongan istana sahaja yang tahu untuk menulis dan membaca pada ketika itu.

  Namun demikian, hal ini tidak menjadi penghalang perkembangan sastera rakyat yang tetap berkembang secara lisan. Sastera rakyat merupakan sastera lisan yang diwarisi oleh masyarakat Melayu daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain. Khalayaknya pula terdiri daripada golongan marhaen. Hakikatnya, sastera rakyat berperanan penting dalam pertumbuhan masyarakat Melayu pada waktu itu.

      Masyarakat Melayu primitif dan tertutup lingkungannya serta dilingkari oleh kepercayaan animisme yang tebal dan dipengaruhi oleh alam sekeliling. Sastera rakyat disampaikan dari mulut ke mulut; diturunkan pula kepada satu generasi kepada generasi seterusnya yang menyebabkan banyak terjadi tokok tambah dalam hasil sastera tersebut yang membentuk cara mereka bertindak dan berfikir.

 

Cerita Rakyat © 2024 by Pusat e-Pembelajaran UMS is licensed under CC BY 4.0 

 

CERITA ASAL-USUL 

Cerita asal-usul atau dongeng aetiologis adalah cerita rakyat yang tertua. Cerita rakyat jenis ini sebenarnya sudah biasa dimasukkan dalam bidang mitos, yakni sebuah cerita yang dianggap benar oleh penceritanya. 

CERITA BINATANG

Cerita binatang adalah salah satu bentuk sastera rakyat yang sangat digemari. Biasanya akan ada seekor binatang yang memegang watak penting dan memiliki sifat-sifat manusia. Dalam masyarakat primitif, tidak ada perbezaan antara dewa, binatang dan manusia.  Cerita-cerita ini dicipta untuk memberi teladan kepada khalayak agar tidak angkuh dan banyak memberikan pengajaran. Terdapat empat corak dalam menganalisis cerita-cerita binatang.

CERITA JENAKA 

Terdapat dua jenis cerita jenaka yang menjadi warisan dalam perkembangan kesusasteraan iaitu cerita yang memperlihatkan unsur-unsur pengaruh Arab dan Farsi. . Cerita rakyat biasanya disampaikan secara lisan oleh pelipur lara, ibu bapa atau nenek dan datuk masa lalu. 

Tujuan cerita jenaka yang hendak disampaikan ialah: 

(i) Merupakan satu kritikan masyarakat terhadap tingkah laku masyarakat terutama yang kurang sopan sama ada golongan bawahan mahupun atasan.

(ii) Memberikan hiburan kepada yang mendengarnya.

CERITA PELIPUR LARA 

Cerita pelipur lara ialah merujuk kepada sebuah bentuk penceritaan yang menghiburkan hati, lara, bersedih dan berduka. Sebelum wujudnya komunikasi massa, mendengar cerita pelipur lara merupakan satu-satunya bahan hiburan bagi penduduk kampung. Narator ini juga dikenali sebagai sahibul hikayat. Kedatangan penglipur lara ini mendapat sambutan yang meriah oleh penduduk kampung dan mendapat upah. Cerita pelipur lara selalunya mengisahkan tentang istana yang indah buatannya. Raja yang memerintah pula memiliki kerajaan yang sangat besar.

CERITA LEGENDA

Cerita legenda dalam sastera rakyat merupakan yang tokohnya dalam bidang tertentu. Seperti, tokoh agama, pahlawan, tokoh-tokoh pembukaan tempat dan sebagainya.

 

definition

License

Icon for the Creative Commons Attribution-ShareAlike 4.0 International License

Kesusasteraan Melayu: Satu Pengenalan Copyright © 2024 by Fatin Najla Omar is licensed under a Creative Commons Attribution-ShareAlike 4.0 International License, except where otherwise noted.

Share This Book