11 SAJAK

PUISI MODEN 

“Seseorang yang hendak menulis puisi hendaklah pula mempersiapkan dirinya. Dia mestilah banyak membaca puisi, karya banyak penyair. Dengan ini, secara tidak langsung dia mempelajari puisi. Dia juga mestilah banyak membaca bahan bacaan yang lain bagi memperluaskan kosa kata dan mendapat idea untuk menulis puisi. Dia juga mesti sering menghasilkan puisi sebagai latihan untuk menimbulkan ketrampilan dalam penulisan puisi. Tidak hanya itu, seorang penulis juga mestilah memiliki kesabaran dan bersedia untuk menyendiri. Ini bertujuan sebahagian kecil tuntutan yang diperlukan sebagai persediaan untuk seseorang menulis puisi”. 

 

Definisi 

Jika ditelitikan definisi puisi moden atau juga dikenali sebagai sajak maka pelbagai tafsiran yang akan ditemui dan dapat dipelajari bahawa sajak membawa maksud sebuah bentuk “puisi bebas”. Mahusin Jusoh et.al. dalam buku Bahasa Alam (1985), puisi moden merujuk kepada puisi yang bebas daripada sebarang ikatan yang tedapat dalam puisi tradisional. Mementingkan keberkesanan pengucapan melalui pemilihan dari pemakaian kata-kata yang saling menumpang dan terjalin menurut erti dan ritma. Sajak atau puisi moden boleh dilihat pada konteks perkataan ‘moden’ itu sendiri. Perkataan moden merangkumi suasana yang dibayangkan melalui kata-kata yang digunakan oleh penyair. Ertinya dalam sajak akan ditemui suasana zaman baharu yang membalut idea-idea moden, sikap moden dan banak hal lagi yang berkaitan dengan ideologi atau falsafah moden. Yakni mencerminkan masyarakat moden yang menitikberatkan aspek individualistik seperti nama penulis yang dicatat dalam karya sebagai pencipta. Hal ini tidak berlaku dalam puisi tradisional kerana karya yang dihasilkan adalah bersifat kolektif. Menurut Rahman Shaari (1987: 76) sajak telah muncul di Malaysia pada tahun 1990-an sementara telah wujud di Indonesia pada tahun 1920an. Sajak wujud daripada perubahan sikap, pemikiran, pandangan hidup dan beberapa aspek kehidupan hasil daripada pengaruh Barat. Puisi moden juga dikatakan sebagai puisi bebas kerana penyimpangan-penyimpangan yang membezakan bentuknya daripada puisi tradisional. Rahman Shaari membahagikan sajak kepada dua jenis iaitu sajak bebas (free reverse) iaitu sajak yang tidak terikat pada sebarang bentuk tertentu dan juga sajak konkrit (concrete reverse) iaitu sajak yang mementingkan aspek penglihatan. Jelasnya, sajak berdiri sebagai ranting daripada dahan puisi, manakala puisi pula berasal daripada pedu sastera”. Sementara daripada sudut pandangan Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir (2007), sajak ini satu karangan berangkap yang mengandungi susunan bahasa yang istimewa, menarik, elok, indah, imaginatif, kreatif dan mempunyai makna yang tersurat dan tersirat dengan jumlah perkataan yang minimum atau sesuatu bentuk pengucapan yang memiliki pemikiran, susunan perkataan yang Istimewa daripada ucapan sehari-harian. Kelahirannya di alam Melayu disebabkan oleh beberapa faktor, seperti perkembangan pengaruh Islam, modenisasi dalam kesusasteraan dan pengaruh kesusasteraan tradisional. Sajak dikatakan sebagai karya sastera yang sangat puitis dan sarat dengan unsur estetika kerana aspek puitis yang menghadirkan estetika itu membezakan puisi dengan prosa (Abdul Halim Ali, 2003: 28). Penciptaan sajak ini bertujuan untuk menciptakan kepuitisan atau membentangkan imaginatif yang puitis secara puitis (Atmazaki, 1993: 14). Sajak menjadi indah kerana kehadiran puisi di dalamnya. Puisi itu sendiri adalah hakikatnya keindahan yang menjelma dalam kata-kata (Kleden, 1983). Sajak juga merujuk kepada puisi Melayu moden yang bebas sifatnya dan tidak pula terikat pada pola tertentu serta digubah dengan bahasa yang indah untuk menyatakan fikiran, perasaan dan pengalaman. Proses memaparkan pemikiran yang membangkitkan perasaan, rangsangan imaginasi, pancaindera dalam suasana bahasa yang indah dan berirama. Walau bagaimanapun, agak sukar untuk mendapatkan makna yang jitu tentang puisi dan mustahil untuk bergantung kepada satu definisi sahaja bagi memahami puisi moden ini. Dalam menghasilkan penulisan puisi moden atau sajak, seseorang penulis itu perlu tahu bagaimana menghasilkan puisi yang bermutu agar dapat menyampaikan nilai estetika sajak itu sendiri kepada khalayak pembaca.

Puisi sebagai karya seni itu puitis. Bagaimanakah sifat yang disebut puitis ? 

Khususnya dalam karya sastera, disebut puitis bila karya itu membangkitkan perasaan, menarik perhatian, menimbulkan tanggapan yang jelas, secara umumnya bila hal itu mampu menimbulkan keharuan disebut puitis. Perlu difahami bahawa puisi itu merupakan sebuah struktur yang kompleks, maka perlu dianalisis untuk memahamaninya secara penuh (Rachmat Djoko Pradopo, 2002: 13).

Puisi yang bermutu

Bagi menghasilkan sebuah penulisan puisi yang bermutu, puisi tersebut perlulah memiliki keseimbangan antara bentuk luaran dengan bentuk dalamannya. Keseimbangan inilah yang mencungkil keindahan Bahasa dan keindahan makna pada sebuah puisi. Bentuk luaran ialah ciri-ciri yang membina sesebuah puisi itu. Yakni, dari segi baris, bunyi, pemilihan kata, Bahasa figuratif, kata konkrit, kata abstrak, penyimpangan Bahasa dan tipografi merupakan bentuk luaran puisi tersebut.  Struktur dalaman puisi pula yang merujuk kepada tema, perasaan, nada atau sikap dan mesej. Tema adalah idea utama yang hendak disampaikan oleh seorang penyair dalam sesebuah puisi. Tema keagamaan, tema kemanusiaan, dan nasionalisme, ekonomi dan politik merupakan antara tema yang biasanya diketengahkan dalam sesebuah puisi. Demikian pula suasana perasaan penyair seperti sedih, gembira, benci, marah, simpati dan sebagainya juga daoat dihayati oleh pembaca menerusi bait-bait kata dalam puisi yang dihasilkan. Sikap seorang penyair seperti mengejek, menasihati sesuatu, menggurui, dan menceritakan sesuatu kepada pembaca. Sementara mesej pula ialah perkara yang mendorong seseorang penyair tersebut menulis puisi yang ingin disampaikan kepada khalayak pembaca menerusi mesej yang tersirat di sebalik tema yang diungkapkan dalam karyanya.

definition

License

Icon for the Creative Commons Attribution-ShareAlike 4.0 International License

Kesusasteraan Melayu: Satu Pengenalan Copyright © 2024 by Fatin Najla Omar is licensed under a Creative Commons Attribution-ShareAlike 4.0 International License, except where otherwise noted.

Share This Book