14 PENGENALAN
Seiring dengan era pendigitalan, karya sastera dapat dinikmati dengan lebih meluas dan tidak hanya secara konvensional. Sastera telah mengalami perubahan yang signifikan dan pelbagai jenis sastera baru yang muncul atau disesuaikan ke dalam bentuk digital. Dengan adanya perkembangan teknologi maklumat yang sedia ada sehingga hari ini membolehkan sesuatu bidang diterokai oleh khalayak ramai tanpa batas dan di mana juga berada. Pelbagai elemen multimedia dan platform digital wujud hari ini dalam arus perkembangan kesusasteraan Melayu. Tamsilannya audiobook (buku audio) e-book, podcast, blogspot dan sebagainya dalam bentuk media digital.
Audiobook atau buku audio merupakan buku yang berbentuk suara yang dirakam oleh seseorang pencerita. Yakni boleh diakses pada bila-bila masa dengan hanya menggunakan peralatan elektronik dan teknologi seperti radio, pita rakaman, telefon pintar mahupun komputer. Pada tahun 1877, buku audio telah diperkenalkan oleh Thomas Edison dengan memperkenalkan alat perakam pertama, iaitu fonograf. Beliau membaca dan merakam Mary had a little lamb yang merupakan bacaan pertama kanak-kanak ketika itu (2021: 19).
Demikianlah dengan memetik kenyataan Baskin dan Harris (1995: 372-376) bahawa konsep buku audio adalah seperti kesusasteraan awal dahulu, iaitu “first literature was heard not read”. Buku audio (audiobooks) merupakan sebuah buku yang diversikan dalam bentuk audio dan terdapat pembaca yang membaca buku tersebut kemudian akan dirakam dalam bentuk suara. Apa yang lebih menarik lagi, pembaca yang merakam suara perlu mahir mengolah kata dengan bahasa verbal secara kreatif agar tidak membosankan pendengar (Madiawati Mamat, Tengku Intan Marlina Tengku Mohd. Ali, Nurhamizah Hashim dan Nur Asyirah Hazari, 2021: 17). Kajian-kajian lepas seringkali memberikan penelitian dalam konteks sejauh mana kah keberkesanan buku audio dapat membantu pelajar sekolah serta pelajar berkeperluan khas dalam meningkatkan prestasi keseronokan membaca, meningkatkan kemahiran pemahaman di kalangan pelajar dan kesannya secara psikologi kepada pembaca. Kajian mengenai buku audio masih agak kurang ditelitikan secara rinci melainkan perbincangan secara umum.
Sejarah perkembangan buku audio di Malaysia dapat dilihat dengan adanya rakaman-rakaman buku oleh syarikat penerbitan atau institusi-institusi tertentu. Sebagai contoh, Nusantara Audiobooks yang telah ditubuhkan pada tahun 2017 merupakan sebuah platform yang menawarkan buku audio yang menggunakan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Indonesia yang mengangkat karya-karya agung atau klasik yang bersifat Nusantara sekaligus merupakan buku audio tempatan pertama di Malaysia.