7 PENGENALAN

Pada dasarnya, ramai pengkaji sastera yang berpendapat bahawa pemisah antara Sastera Melayu Tradisional dengan Sastera Melayu Moden berlaku selepas tahun 1800. Hal ini kerana hasil-hasil kesusasteraan Melayu yang menunjukkan sifat baru pada abad ke-19 dengan kemunculan karya-karya Munsyi Abdullah (Ismail Yusoff, 2008: 153). Secara ringkasnya, dari segi bentuk, isi atau pandangan seorang pengarang juga boleh membezakan atau menjadi garis pemisah antara hasil-hasil Sastera Melayu Tradisional dengan Sastera Melayu Moden.

             Jika hasil-hasil Kesusasteraan Melayu Tradisional selalu memusatkan perhatian terhadap kehidupan golongan istana atau pemerintah. Misalnya, jelas dapat ditelitikan dalam cerita-cerita penglipur lara, epik warisan zaman Hindu, epik zaman Islam, kesusasteraan sejarah dan sebagainya. Hasil ciptaan zaman feudal dan berpusat di istana yang mengangungkan golongan istana.

             Sementara, hasil-hasil kesusasteraan Melayu moden yang memusatkan perhatian pada kehidupan rakyat biasa, memaparkan persoalan yang dihadapi Masyarakat. Hasil-hasil yang menekankan gambaran peristiwa-peristiwa yang benar-benar terjadi di sekeliling, konkrit dan di alam nyata. Ini dapat ditelitikan dalam cerpen-cerpen, novel dan sajak-saja Melayu sebelum dan selepas perang dunia kedua. Umumnya, sastera Melayu moden menyajikan persoalan yang berkaitan dengan kehidupan Masyarakat sama ada golongan petani, buruh, nelayan dan golong-golongan lain dalam masyarakat. Sifat sastera Melayu moden juga dapat dibezakan dengan sifat realismenya. Kisah-kisah yang dilakar adalah peristiwa logik dari segi pemikiran manusia. Berbeza dengan hasil Kesusasteraan Melayu Tradisional yang mengetengahkan kisah mitos, unsur-unsur ghaib dan dongeng-dongeng. Misalnya, kisah dewa-dewi, kisah kayangan dan perisitiwa aneh yang sukar diterima oleh manusia moden.

               Dari segi bahasa pula, gaya bahasa sastera Melayu moden lebih linear dan mudah untuk difahami. Sementara Sastera Melayu Tradisional lebih menekankan penggunaan bahasa hikayat yang menggunakan kata-kata lama dan tana penggunaan perenggan serta tanda baca pada zaman itu. Seiring dengan peralihan jalur perkembangan Kesusasteran Melayu Moden, sifat individualisme pengarangan memiliki pemikiran dan gaya kepengarangan yang tersendiri. Cara penyebarannya pula menerusi cetakan dan luas diperdagangkan jika dibandingkan dengan Sastera Melayu Tradisional yang hanya menggunakan kaedah tulis tangan dan penyebarannya juga terhad.

 

Terdapat lima genre dalam kesusasteraan Melayu moden iaitu cerpen, drama, esei atau kritikan, novel dan puisi.

 

 

“Munsyi Abdullah bin Abdul Kadir dapat digolongkan “Bapa Kesusasteraan Melayu Moden” kerana dia menulis pada kira-kira pertengahan abad ke-19, karya-karyanya dicetak, bentuk-bentuknya sudah terpisah dari bentuk yang tradisi, dia tidak lagi menuliskan khayalan yang tidak dapat diterima akal, dia mengkritik keadaan-keadaan social dan karya-karyanya dinikmati secara individual”.

(A. Bakar Hamid, 1974:5)

 

definition

License

Icon for the Creative Commons Attribution-ShareAlike 4.0 International License

Kesusasteraan Melayu: Satu Pengenalan Copyright © 2024 by Fatin Najla Omar is licensed under a Creative Commons Attribution-ShareAlike 4.0 International License, except where otherwise noted.

Share This Book