1 PENGENALAN

 

 

Adopted from “Wild flowers” by Anne Pratt is licensed under CC BY 3.0

 

Hasil kesusasteraan yang diwarisi sehingga hari ini mempunyai hubungan langsung dengan ahli masyarakat yang lalu bukan sekadar merupakan karya kreatif intelektual bangsa masa lalu, malah menjadi bahan yang digunakan dalam budaya kehidupan masyarakat. Ruang lingkup budaya serta keperluan hidup masyarakat dalam tatatingkat mana sekalipun tetap akan mendekati hasil sesebuah sastera tersebut (Aripin Said, 2015:3). Kesusasteraan Melayu tradisional meliputi tradisi lisan dan tradisi bertulis sama ada dalam bentuk prosa mahupun puisi. Secara dasarnya, perkembangan kesusasteraan Melayu dimulai dengan tradisi lisan selaras dengan kesederhanaan tingkat dalam pemikiran awal masyarakat Melayu pada satu ketika dahulu.

          Tradisi lisan yang lahir ketika masyarakat Melayu masih berada di fasa primitif dan buta huruf membawa kepada kewujudan prosa dan puisi yang juga diistilahkan sebagai sastera lisan atau sastera rakyat yang mempunyai pegangan kepercayaan dan ritual seperti mitos dan mantera. Tidak hanya berfungsi sebagai unsur ritual, malah sastera dalam konteks ini memainkan peranan sebagai hiburan yang antara lainnya termasuklah cerita legenda, cerita binatang, cerita penglipur lara, pantun, teka-teki, seloka, teromba dan peribahasa. Dalam sejarah dan perkembangan kesusasteraan Melayu (Harun Mat Piah, 1993) kesusasteraan Melayu tradisional merujuk kepada karya yang mempunyai ciri-ciri yang berikut:

Ciri-ciri karya Kesusasteraan Melayu Tradisional

  1. Bersifat Kolektif
  2. Hasil karya bersifat feudal
  3. Karya yang terbatas pencipta dan khayalaknya
  4. Karya yang dihasilkan sebelum tahun 1800M
  5. Bersifat fungsional
  6. Mempunyai pelbagai genre yang diungkapkan secara lisan dan tulisan
  7. Tidak dibatasi oleh zaman, tarikh dan waktu
  8. Gaya bahasa dan langgam bahasa yang berbeza dengan gaya bahasa kini
  9. Hasil karya yang mempunyai nilai tersendiri
  10. Mempamerkan nilai-nilai klasik
  11. Hasil karya bersifat statis kerana tidak memperllihatkan keragaman tema dalam sesuatu genre

      Kesan kepada pertembungan masyarakat Melayu dengan budaya yang lebih maju kemudiannya secara langsung mempertingkatkan kematangan kreativiti kesusasteraan dengan menguasai tradisi bertulis. Kreativiti pengarang membawa kepada bentuk prosa dan puisi, tidak hanya memenuhi tuntutan hiburan malah meliputi peringkat lebih tinggi seperti pemikiran dan falsafah. Justeru itu, bahagian satu dalam buku ini akan menjelaskan Kesusasteraan Melayu Tradisional secara asas  yang dimulai dengan bentuk dan isi kesusasteraan Melayu tradisional, sastera lisan – berbentuk naratif, sastera lisan – berbentuk bukan naratif, sastera tulisan – berbentuk naratif dan sastera tulisan – berbentuk bukan naratif.

 

definition

License

Icon for the Creative Commons Attribution-ShareAlike 4.0 International License

Kesusasteraan Melayu: Satu Pengenalan Copyright © 2024 by Fatin Najla Omar is licensed under a Creative Commons Attribution-ShareAlike 4.0 International License, except where otherwise noted.

Share This Book