9 NOVEL
OBJEKTIF PEMBELAJARAN
- Memahami definisi novel
- Memahami perkembangan novel sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua
- Mengenali pelopor novel Melayu
- Memahami gaya naratif novel Melayu
PENGENALAN
Novel merupakan satu genre dalam kesusasteraan Melayu moden yang diperkenalkan kepada Masyarakat Melayu pada awal abad ke-20. Berasal dari Bahasa Itali iaitu novella yang membawa maksud “Perkhabaran Baru” atau “Cerita Pendek”. Kamus Dewan Edisi Keempat pula menjelaskan bahawa novel merupakan sebuah cerita dalam bentuk prosa, biasanya panjang dan kompleks, yang berakitan dengan pengalaman manusia dan kelakuan sosial. Novel kemudiannya dikembangkan oleh kesusasteraan Barat sehingga menjadikan suatu bidang penulisan yang popular. Kedatangan Inggeris pada awal abad ke-19 telah banyak mempengaruhi kehidupan dan pemikiran masyarakat Melayu.
Dalam tempoh abad tersebut juga, pengenalan alat cetak menjadi faktor kepada pertumbuhan penyebaran bahan bacaan yang kian meluas dengan membawa kemunculan akhbar Melayu pertama bernama Jawi Peranakan pada tahun 1876. Dengan adanya perkembangan era baharu dala bidang Persuratan Melayu apabila akhbar dan majalah diterbitkan dengan banyak yang seterusnya membawa perkembangan kepada kemunculan golongan yang berminat ke arah penerbitan buku sekaligus mempengaruhi sikap dan konsep penulis Melayu terhadap cerita rekaan.
Adakah kelahiran novel dapat dikatakan sebagai hasil daripada kegiatan sebelumnya ? atau apakah ia merupakan lanjuta daripada sastera tradisi ?
Bagi menjelaskan perkara ini, harus dilihat bidang novel dari dua sudut.. Dari sudut pertumbuhan, kelahiran novel adalah disebabkan kegiatan terjemahan dan saduran sebelumnya. Perbandingan antara novel dengan sastera tradisi khususnya cerita penglipur lara, memiliki persamaan yang ketara antara kedua-dua bentuk ini. Tamsilannya, dari segi penggunaan tajuk. Selain itu, dari segi struktur plot novel, penggunaan literary devices, pelukisan watak dan sebagainya yang menunjukkan adanya pertalian antara bidang novel dengan sastera tradisi.
Tahun 1925, menjadi titik awal sejarah perkembangan novel Melayu Moden dengan terbitnya novel saduran “Hikayat Faridah Hanum” karya Syed Sheikh Al-Hadi yang membawa tema emansipasi wanita selain novel “Iakah Salmah?” oleh Ahmad bin Ahmad Rashid Talu. Karya Syed Sheikh Al-Hadi ini sekaligus mencatat sejarah sebagai pembuka zaman baru dalam bidang kesusasteraan Melayu moden. Selepas terbitnya beberapa buah novel beliau yang lain, didapati telah muncul ramai penulis-penulis lain yang kebanyakannya merupakan golongan guru dan wartawan. Antaranya, Abdul Rashid Talu yang telah menghasilkan sebanyak 12 buah novel pada ketika itu. Shamsuddin Salleh juga merupakan seorang novelis lain yang produktif sebelum Perang Dunia Kedua dengan menghasilkan lebih kurang 50 buah novel. Kebanyakkannya novel yang berbau politik dan semangat kebangsaan. Sejarah penulisan novel di Malaysia dikatakan lahir daripada peniruan Kesusasteraan Timur Tengah.
Tema atau persoalan yang dikemukakan seperti cinta dan kahwin paksa, kebebasan atau emansipasi wanita, ekonomi, moral dan sebagainya. Selian itu, tema nasionalisme juga menjadi pilihan penulis sebelum Perang Dunia Kedua. Apa yang dimaksudkan nasionalisme ialah gerak kesedaran masyarakat untuk menentukan nasib diri sendiri, bangsa dan negara bagi mencapai kebebasan dan kesejahteraan serta memupuk keperibadian sejati.
Sementara plot penceritaan yang disajikan agak mudah. Didapati kebanyakan plot novel pada masa itu tidak kemas dan pengolahannya kurang menelitikan teknik dan mengabaikan penggunaan hukum sebab akibat dalam naratif. Pada dasarnya, pengarang hanya mengemukakan watak utama dalam novel kemudian disusuli dengan dua atau tiga penentangan dan disertai dengan anti-klimaks. Sebagai sebuah cerita adventure, plot novel pada Sebelum Perang Dunia Kedua menyerupai plot cerita adventure tradisional khususnya pada pola cerita penglipur lara atau cerita Panji. Hal ini jelas kerana plot-plot novel tersebut menumpukan tiga bahagian dan diakhiri dengan kegembiraan.
Watak sebagai penggerak cerita dalam karya kreatif sangat memainkan peranan yang penting. Walaupun dikatakan novel-novel zaman sebelum Perang Dunia Kedua telahpun memperkenalkan watak manusia biasa, namun masih kekal menjadi boneka pengarang. Dengan erti kata lain, watak-watak ini tidak bergerak dengan sendiri sebaliknya dijadikan alat untuk menyalur pendapat pengarang itu sendiri. Secara umumnya pula, watak-watak tersebut terdiri daripada watak utama, watak sampingan dan watak kodi.
Watak kodi (stock character) ialah watak yang terdiri dari benda-benda yang tidak bernyawa tetapi digambarkan sebagai watak yang pandai berbicara. Salah satu contoh novel yang menggunakan watak kodi ini adalah novel “Kawan Benar”. Watak-watak tersebut berfungsi untuk menghubungkan bahagian cerita untuk meleraikan ketegangan dan menjadi saluran kritikan pengarang. Perlukisan watak yang idealistis ini bertujuan sebagai unsur pengajaran kepada manusia lain.
Gaya bahasa novel-novel sebelum Perang Dunia Kedua masih mengekalkan tradisi lama. Selain itu, pengarang banyak terpengaruh dengan gaya bahasa asing yang merupakan pengaruh kaitan latar belakang, pendidikan dan pekerjaan penulis ketika itu.
“Gaya bahasa novel Sebelum Perang Dunia Kedua banyak menggunakan ayat yang panjang dan dialog ala-khutbah” (Ismail Yusoff, 2008:170).
Perkembangan Novel
Pada dasarnya, penulis baharu akan berjinak-jinak dahulu dengan genre cerpen mahupun puisi. Kemudian akan beralih ke dunia penulisan novel setelah dapat memantapkan penulisan. Genre ini mempunyai ruang yang besar dan mempunyai serangkaian pemikiran yang perlu digulat dengan secukupnya. Ibarat mahasiswa yang perlu menulis esei dan kritikan sebelum menulis tesis atau kertas ilmiah. Mana Sikana (2022) berpendapat bahawa beliau percaya penulis yang bermula dengan cerpen akhirnya menulis novel (2022: xxii).
Perkembangan novel dalam dekad 90-an dikatakan lebih pesat daripada dekad sebelumnya, sama ada dari segi kualiti mahupun kuantiti. Peningkatan ini berlaku dalam penghasilan karya kreatif dan juga kritikan. Secara umumnya dapat dikatakan bahawa para penulis dan ahli akademik semakin memandang serius dalam menangani bidang kesusasteraan dengan menghasilkan karya pelbagai aliran dan teknik. Satu jalur yang ketara ialah kepesatan penghasilan novel remaja dan popular. Kepesatan ini bukan sahaja berlaku pada judul novel malah padaa senarai penulisnya. Umumnya, dekad ini juga telah menjadi medan kepada penulis bagi mempertingkatkan lagi jumlah karya dan memantapkan mutu penulisan mereka. Penerbitan novel dalam tahun 1990-1999 an memperlihatkan senario yang begitu memberangsangkan dengan kehadiran barisan penulis muda yang berbakat, di samping ketekalan penulis mapan termasuklah Sasterawan Negara Arena Wati, Shahnon Ahmad dan Abdullah Hussain (2022: 274).
Ciri-ciri yang memungkinkan novelis berfungsi sebagai pengkarya yang berkesan menurut Sahlan Mohd Saman dan Che Abdullah Che Ya (2005):
- Terbentuknya keinginan untuk mendedahkan dan membawa perubahan terhadap sesuatu situasi pada diri sendiri dan juga kepada orang lain.
- Seorang novelis telah melihat sesuatu denggan jelas perlu mengungkapkan fenomena tersebut dengan jujur. Walaupun gagasannya dalam karya itu salah, namun novel yang dihasilkan mempunyai kekuatan kerana berupaya menulis dengan keihklasan.
- Novelis juga perlu memiliki kepakaran untuk mengungkapkan hal-hal ini dengan jelas, indah dan halus sifatnya agar dapat menimbulkan kesan estetik dalam karya tersebut. Di samping itu, novelis juga diharapkan dapat bermain dengan kesan-kesan deria rasa, liat dan dengar melalui penyusunan kata-kata dan persembahan yang menarik. Melalui kesan-kesan inilah yang berupaya mencetuskan pemikiran baharu kepada diri pembaca dan keseluruhan manusia amnya.
“Kejayaan sesebuah novel sebagai karya sastera dapat dinilai daripaya keupayaannya menjadi perantara sosial yang memungkinkan pemahaman dan penilaian semula nilai-nilai hidup” (2005: 125).
Oleh kerana sifatnya sebagai karya seni maka novelis mengemukakan realiti objetif dalam bentuk realiti imaginasi. Hakikat inilah yang menyebabkan novel kemudiannya dianggap sebagai ‘manifestasi sosial’ kehidupan manusia dengan mengambil kehidupan sebagai perisian atau ceritanya dan kreativiti serrta keindahan berbahasa sebagai penyerinya (2005:122).
Key Takeaways
Bentuk-bentuk baru di dalam Kesusasteraan Melayu – cerpen, novel dan sajak lahir setelah tahun-tahun 1920-an.
- 1920 lahir cerpen Melayu pertama, “Kecelakaan Pemalas” yang disiarkan dalam majalah Pengasuh pada 4 Februari 1920 karya Nor bin Ibrahim (Madrasi).
- Penulisan novel dalam Kesusasteraan Melayu lahir pada tahun 1925 apabila Syed Sheikh Al-Hadi menghasilkan novel bertajuk “Hikayat Faridah Hanum”.
- Shaharom Husain dan Syed Alwi merupakan pelopor drama moden Malaysia. Shaharom Hussain mementaskan drama “Pebelot” dan “Nasib Si Buta” pada tahun 1930 manakala Syed Alwi Alhadi mementaskan dua buah drama pada 1942 iaitu “Tarek ben Ziad Pahlawan Islam” dan “Hang Tuah Pahlawan Melayu”.
- Sajak pula muncul pada tahun 1934 dengan menyiarkan lima buah sajak di dalam Majalah Guru, Mac 1934. Karya penulisan Muhammad Yassin Makmur atau Punggok.
https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=novel&d=175768&
1. Dari sudut pertumbuhan.
2. Berdasarkan karya itu sendiri.
Penggunaan "hikayat" sebagai tajuk novel sekitar tahu 1920-an juga memperlihatkan pengaruh daripada sastera tradisi. Misanya, novel bertajuk "Hikayat Faridah Hanum" (Syed Sheikh Al-Hadi), "Hikayat Khalik dan Malik" (Zulkarnain Yaakub).
Seperti syair dan pantun.
Dakwat, kertas & kalam.
Didapati adanya syair, pantun dan ungkapan tradisional.
Raja Mansor dan Shamsuddin Salleh - gaya bahasa Indonesia.
Syed Sheikh Al-Hadi - Bahasa Arab
Ahmad Rashid Talu - gaya bahasa bersifat koloquil (ungkapan/dialek/perkataan Pulau Pinang)
Ishak Haji Muhammed - gaya bahasa kewartawanan.
Sahlan Mohd. Saman dan Che Abdullah Che Ya. Bab dalam buku. Bab 6: Novel. 2005. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi, Selangor. Malaysia.
Persuratan Melayu Tradisional ke Moden. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.