10 DRAMA

OBJEKTIF PEMBELAJARAN

  • Memahami definisi drama
  • Mengenalpasti ciri-ciri perbezaan drama tradisional dan drama baharu

BERKENALAN DENGAN DRAMA MELAYU MODEN

“Berbicara mengenai drama bermakna kita berada dalam dua cabang kesenian iaitu seni sastera dan seni pentas. Sesebuah drama yang ditulis dikatakan hanya akan sempurna penciptaannya apabila ianya dipentaskan”. 

(Sahlan Mohd. Saman, 2005:148)

 

Sebagai karya sastera, drama juga termasuk dalam golongan cerita fiksyen atau rekaan, sama seperti novel dan cerpen. Walau bagaimanapun, Sahlan Mohd. Saman (2005: 148) menyatakan bahawa drama mempunyai perbezaan dengan genre sastera lain kerana daripada perspektif struktur dan persembahannya ia menuntut dua tahap penciptaan iaitu menulis skrip dan pementasan. Genre drama terdiri daripada dua komponen yang bergabung dalam kreativiti penciptaannya. Drama mempunyai dua dimensi, iaitu sebagai karya kesusasteraan yang disampaikan dalam bentuk dialog dengan tujuan untuk dipentaskan sebagai seni pertunjukan, dan sebagai teks sastera untuk dihayati dan dikaji.

               Drama berasal daripada perkataan Yunani, “dran” yang membawa maksud ‘melakukan,’ ‘melakonkan,’ ‘mencapai’. Kata drama juga meliputi sandiwara, bangsawan dan opera. Dengan kata lain, drama juga merujuk kepada satu lukisan hidup manusia yang dimainkan di atas pentas. Manakala, teater berasal dari perkataan Greek theatron yang bererti “to see atau to view”.  Bagi Aristotle, plot lah yang menjadi penggerak utama sesebuah drama dan ianya harus dibina daripada tiga kesatuan, iaitu aksi, tempat dan masa. Elemen-elemen inilah  justeru menyebabkan drama menjadi sebahagian daripada cabang sastera. Drama juga turut meliputi elemen lain seperti lakon, seni muzik, seni bina, seni busana dan seni tari. Drama tidak hanya sekadar dibaca tetapi untuk dilakonkan di atas pentas, dengan penghayatan yang berbeza dari segi antara dibaca dengan pementasannya. Aristotle juga mentakrifkan drama sebagai aksi manusia yang ditiru. Drama boleh dicipta secara lisan atau tulisan. Teks yang dicipta secara lisan lebih mementingkan unsur persembahan daripada unsur sastera yang bertulis. 

Rajah: Perbezaan Drama dan Teater

Sumber: Sahlan Mohd. Saman, 2005

 

         Meneliti sejarah kelahiran drama, pertamanya adalah percubaan mencari bentuk awal apa yang dikatakan drama. Hal ini kerana, dalam sejarah perkembangan drama telah mengalami banyak perubahan bentuk dari semasa ke semasa selaras dengan perkembangan masyarakat yang menghidupkannya. Dilihat dari sudut sejarah, kemunculan drama sama ada di Malaysia mahupun di Nusantara mempunyai hubungkait dengan upaca keagamaan atau kepercayaan (Samin Bin Rabani, 2022: 21).

 

          Dari rituallah berkembangnya segala jenis hiburan dan seni drama. Ritual yang lahir pada zaman animisme. Dalam Masyarakat yang kurang unsur hiburan, lakon-tari dan pengucapan-nyanyian mantera pada mulanya mutlak untuk tujuan berkomunikasi dengan kuasa ghaib kemudiannyya beransur-ansur menjadi sesuatu yang gemar ditonton yang membawa kepada bentuk hiburan. Dikatakan, hingga sekarang masyarakat Melayu masih mempunyai bentuk teater berfungsi begitu (Safian Hussain, Mohd Thani Ahmad dan Johan Jaafar, 2006:193).

 

             Secara umumnya, drama ialah lakonan yang dimaksudkan aksi yang dicipta oleh manusia untuk tujuan berkomunikasi secara simbolik dan dilakukan di hadapan penonton. Istilah yang tepat untuk kegiatan drama di Malaysia sejak beratus-ratus tahun dulu sehingga zaman kegemilangan bangsawan pada tahun-tahun 1920-an dan 1930-an ialah teater. Bangsawan adalah drama yang dipersembahkan dalam zaman peralihan drama tradisional kepada drama Melayu moden. Ia membawa pemikiran tentang pengadilan sosial dalam kehidupan masyarakat Melayu zaman tradisional. Tradisi teater di Malaysia ialah tradisi improvisasi, tradisi lisan. Pada era itu, dikatakan cerita-cerita drama yang dipentaskan tidak mempunyai naskhah bertulis. Teknik lakon improvisasi yang terpakai dalam lakonan drama tradisional dan bangsawan menyebabkan lakonan drama tradisional tidak memerlukan skrip.

 

“Komunikasi secara simbolik ialah komunikasi melalui imej dan cerita yang imaginatif. Dengan erti kata lain, drama ialah sejenis karya seni yang menggunakan gerak, bahasa, pentas, kostum, bunyi dan cahaya.”

 

            Dengan demikian, naskhah bertulis atau istilah “skrip drama” tidak pernah wujud di dalam tradisi teater tradisional dan bangsawan. Maka, kewujudan skrip drama sahaja dengan sendirinya merupakan suatu perkara yang baharu dalam tradisi drama Melayu. Jika dilihat dari sudut drama itu sendiri, “Meriam Berpesawat” telah memulakan satu tradisi baru di dalam drama Melayu, ia telah menimbulkan satu gejala baharu di dalam drama, iaitu skrip bertulis. Walau bagaimanapun, karya ini bukanlah merupakan sebuah skrip drama yang ditulis mengikut teknik penulisan drama yang betul kerana tidak memiliki pembahagian babak dan adegan serta tidak ada keterangan latar, malah ianya ditulis sebagai sebuah cerita biasa. Namun yang membezakannya daripada cerita biasa ialah struktur ceritanya yang mementingkan aksi dan dialog, yakni aksi yang dipersembahkan dengan jelas dan konkrit dengan begitu sahaja dapay diungkapkan ke atas pentas (Hamzah Hamdani & Siti Aisah Murad, 2004:224).

 

Sebuah naskhah drama yang baik akan dapat memberikan gambaran yang jelas tentang pemikiran pengarang melalui unsur-unsur dramatik dalam dialog yang dihasilkan. Unsur dramatik ini bermaksud diksi atau ungkapan  yang boleh membangunkan konflik dalam drama seperti dialog yang menimbulkan pelbagai emosi. Sebuah drama yang baik juga harus mempunyai unsur suspens, ketegangan dan seharusnya membina rasa ingin tahu pembaca atau penonton.”

Menulis Skrip Drama 

 

 

         Meskipun drama melalui fasa kejatuhan, namun perubahan dan perkembangan dekad 90-an merupakan satu fasa yang amat menarik, ghairah dan memberangsangkan dalam dunia teater Melayu. Dekad ini juga dikenali sebagai dekad yang mengetengahkan kecanggihan teknologi teater (produksi teater), kecanggihan prasarana teater dan kemewahan produksi teater. Dengan bangkitnya semula teater dalam dekad 1990-an ini setelah keletihan dan kemalapan dunia teater pada dekad 1980-an yang diakibatkan oleh kemunculan teater absurd-ala-Malaysia dalam dekad 1970-an, akhirnya mendorong kepada kesedaran kerajaan dan aktivitis teater akan hakikat ini dan cuba memulihkan keadaan dengan mengubah corak pementasan (Mana Sikana, 2022: 408).

Teater Dekad 1990-1999

a) Drama Baharu 

Menerusi perkembangan drama Melayu dalam tahun 1990-an, skrip baharu ditulis baik oleh dramatis veteran mahupun oleh orang baharu atau orang muda yang mula berkecimpung dalam dunia teater. Pada tahap yang paling dasar, drama ini kebanyakannya meneliti kembali sejarah negara Malaysia, landskap kepelbagaian budaya, agama serta etni yang berbeza dengan tujuan untuk lebih menjadi prihatin dengan psyche Melayu dan jati diri bangsa Melayu. Drama-drama baharu ini menyerlahkan karya yang didominasi oleh sejarah lampau. Kategori drama/persembahan ini menyerlahkan produksi yang menghidangkan tema tertentu dengan gaya yang realistik, simbolik atau surealistik dan dalam bentuk “muzikal”. Drama muzikal dalam konteks Malaysia. Misalnya, “Keris Sang Puteri” yang telah menjadi produksi pertama untuk pembukaan rasmi Panggung Negara.

 

b) Teater Wanita 

Maksud teater wanita bukanlah semata-mata teater yang dibuat oleh wanita untuk wanita atau teater yang hanya memaparkan tentang isu-isu gender semata-mata. Yang dimaksudkan dengan teater wanita ialah sesuatu yang agak sederhana, dalam dunia pementasan, terdapat ramai wanita yang terlibat, sama ada sebagai penulis drama, pengarah, pelakon, pengkritik mahupun sebagai produser. Pada tahap paling asas, wanita yang digambarkan sebagai penulis atau sebagai seorang pengkritik wanita ialah manusia wanita yang malang. Meskipun tanggapan sebagai wanita air mata tetapi  drama mereka menjadi juga wanita ikhtiar yang akan membela nasib dan memperbaiki kehidupan mereka meskipun watak wanita yang diketengahkan masih mengamalkan status quo.

 

c) Teater Kanak-kanak

Meskipun teater kanak-kanak diabaikan atas faktor penglibatan kanak-kanak dalam dunia pementasan dan kerisauan ibu bapa pada ketika itu sekiranya terpaksa mengorbankan prestasi persekolahan. Namun demikian, dekad 1990-1999 memberi satu perubahan dan perkembangan yang baik bahawa hakikatnya teater kanak-kanak mula mendapat perhatian dan berjaya menarik minat khalayak. Dengan adanya produksi besar, perbelanjaan yang besar serta galakan untuk mengambil bahan daripada cerita rakyat bagi merangsang minda muda. Set yang dicernakan di atas pentas teater kanak-kanak sangat mengagumkan. Kanak-kanak sudah pun menggunakan kecanggihan multimedia untuk menyerlahkan teater mereka.

 

d) Drama Terjemahan, Teater Adaptasi

Perkembangan drama Melayu semakin rancak dalam dekad 1990-1999 apabila pementasan drama yang diterjemahkan dan diadaptasi pada prasarana pentas Melayu. Menurut Mana Sikana (2022: 416), adaptasi ini termasuklah daripada drama Yunani, drama Shakespeare, mahupun daripada novel. Misalnya, Bakai ialah satu pementasan yang diserlahkan dalam milieu negeri Sarawak dan diadaptasikan ke dunia Melayu. Sementara karya Shakespeare seperti Macbeth dan Hamlet yang terkenal dan dipentaskan dalam era kegemilangan pentas bangsawan.

 

Rahmah Bujang (Mana Sikana 1995, 30) telah membahagikan konsep drama kepada lima iaitu:

  1. Drama merupakan suatu bentuk seni yang bersifat dramatik
  2. Drama merupakan seni pengucapan
  3. Drama merupakan seni persembahan
  4. Drama merupakan seni tontonan
  5. Drama merupakan seni yang mencakupi penglibatan dan usahasama antara penggiat dan penggemarnya

Jenis-jenis Drama 

Secara umumnya, terdapat tiga jenis drama, iaitu:

Apakah FUNGSI drama ?

Sudah semestinya setiap drama yang dihasilkan ada tujuannya ! Kreativiti sastera pastinya terarah kepada fungsi kemanusiaan dan fungsi penciptaannya. Tahukah anda, pengarang yang menghasilkan sesebuah drama itu sebenarnya terdorong oleh rangsangan dalaman dan persekitarannya hingga mempengaruhi struktur drama yang dihasilkan. Dari aspek fungsi penciptaannya dapat dilihat dari dua segi.

Bagaimanakah sebuah drama itu dianggap BERJAYA ?

Bagi menjayakan sesebuah drama, unsur-unsur kemanusiaan haruslah diwujudkan. Drama dihasilkan bukanlah sekadar bertujuan sebagai hiburan semata tetapi untuk renungan masyarakat, yakni dari manusia untuk manusia. Menurut Sahlan Mohd. Saman (2005:154), sebuah drama yang berjaya ialah drama yang dapat memancing perasaan dan fikiran khalayak, dapat membaiki moral manusia dan membincangkan sifat-sifat jiwa atau psikologi manusia. Maka, dapat disimpulkan unsur-unsur kemanusian amat penting dalam cerita dan pemikiran yang ingin disampaikan kepada khayalak.

Ciri-ciri DRAMA 

  • Merupakan prosa moden yang dihasilkan sebagai naskhah untuk dibaca dan dipentaskan.
  • Naskhah drama boleh berbentuk prosa atau puisi.
  • Terdiri daripada dialog dan watak yang diwujudkan.
  • Pemikiran pengarang disampaikan menerusi watak-wataknya.
  • Konflik ialah unsur yang penting untuk menjadikan sebuah drama itu dianggap baik atau berhasil.
  • Mementingkan gaya bahasa sebagai gambaran kepada latar masa dan masyarakat yang diwakilinya.

 

         Secara tuntasnya, tidak dinafikan bahawa perkembangan drama mutakhir baik dari segi penulisan skrip atau pementasan pada dasarnya turut dipengaruhi oleh kemunculan teori-teori baharu. Ambang pascamoden memberi impak kepada corak dan bentuk drama yang dihasilkan. Teori-teori seperti intertekstual, semiotik, new-historisisme, teksdealisme dan sebagainya yang diaplikasikan dalam drama pada awalnya terkenal dengan pendekatan dan metodologi kritikan tetapi akhirnya berkembang menjadi sebuah teori drama yang memberi kepentingan dalam bidang penulisan skrip dan pementasan teater yang pada mulanya digunakan dalam bidang sastera fiksyen seperti novel dan cerpen kemudiannya menular ke genre drama.

 

 

definition

License

Icon for the Creative Commons Attribution-ShareAlike 4.0 International License

Kesusasteraan Melayu: Satu Pengenalan Copyright © 2024 by Fatin Najla Omar is licensed under a Creative Commons Attribution-ShareAlike 4.0 International License, except where otherwise noted.

Share This Book