8 CERPEN
OBJEKTIF PEMBELAJARAN
- Memahami konsep cerpen Melayu
- Memahami tema cerpen sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua
Pengenalan
Cerpen merupakan suatu wacana yang memiliki ciri-ciri tersendiri dalam sejarah kesusasteraan Melayu. Genre atau bidang cerpen dalam kesusasteraan Melayu termasuk dalam kategori cereka, merupakan satu bidang yang popular. Sebagai satu genre kesusasteraan, menerusi akronimnnya cerpen dapat dihuraikan sebagai cereka pendek yang merujuk kepada plot atau jalinan peristiwa yang relatif mudah dan sedikit berbanding novel. Jumlah watak yang dipersembahkan dalam dunia cerpen tidak seramai jumlah watak dalam penulisan fiksyen novel dan watak yang lebih berfokus. Cerpen juga berdasarkan fakta di campur dengan imaginasi. Dengan membawa makna lain, cerpen ialah satu gabungan yang tidak seimbang antara pengalaman benar berlaku mahupun rekaan pengarang.
Cerpen yang berjudul “Kecelakaan Pemalas” pada tahun 1920 karya Nor bin Ibrahim Al-Madrasi yang diterbitkan dalam majalas Pengasoh/Pengasuh pada 4 Februari 1920 telah mencatat sejarah sebagai cerpen Melayu pertama yang diterbitkan. Jika diikuti perkembangan penulisan cerpen Melayu dari awal hingga ke hari ini, perubahan terjadi juga dipengaruhi oleh peningkatan pendidikan di kalangan penulis dan pembaca. Cerpen yang dihasilkan dituntut mengimbangi perisian mesej dengan keindahan estetik di dalamnya.
Pada tahap awal pertumbuhan dan perkembangan cerpen, terutama dalam dekad 1920-an, ternyata pengarang belum mengemukakan persoalan-persoalan cerita yang besar dan tidak begitu luas daerah garapannya. Pengucapan yang berbaur denga nada didaktik ini amat ketara dan dapat ditelusuri pada cerpen-cerpen yang mengangkat fenomena moral dan kebebasan sosial yang ada hubungkait dengan realiti objektif semasa akibat daripada pertembungan kebudayaan Timur dengan kebudayaan Barat (Othman Puteh, 2004: 155).
Sesebuah cerpen adalah hasil gabungan estetik dengan persoalan-persoalan yang terhimpun ke dalam suatu pola yang paling harmonis dan menyeronokkan. Sesebuah cerpenis perlu memilih cerita serta keseluruhan pengolahan cerita itu memiliki nilai estetik atau keindahan bahasa.
Perkembangan Cerpen Melayu Sebelum Perang Dunia Kedua mengangkat tema dan persoalan yang menyentuh aspek moral atau keruntuhan akhlak terutama pengaruh moden barat. Selain itu, turut mengetengahkan persoalan kebebasan sosial seperti cinta muda-mudi, kahwin paksa, pelajaran orang-orang Melayu, perihal politik dan ekonomi orang Melayu serta nasionalisme.
Sementara watak yang ditonjolkan berbentuk tipis dan tidak bulat, yakni diperkenalkan secara langsung oleh pengarang dan tidak berkembang secara natural. Selain itu, gaya bahasa yang digunakan adalah dipengaruhi oleh corak pendidikan atau pekerjaan cerpenis pada ketika itu (Ismail Yusoff, 2008: 219).
Tema, persoalan dan watak
- Persoalan moral atau keruntuhan akhlak terutama pengaruh moden barat
- Persoalan kebebasan sosial seperti cinta muda-mudi, kahwin paksa
- Persoalan kebangsaan
- Persoalan pelajaran orang-orang Melayu
Sementara itu, watak yang ditonjolkan berbentuk tipis dan tidak bulat. Yakni, diperkenalkan secara langsung oleh pengarang dan tidak berkembang secara natural. Gaya bahasa yang digunakan pula adalah dipengaruhi oleh corak pendidikan dan pekerjaan cerpenis.
Perkembangan Cerpen Melayu Sebelum Perang Dunia Kedua:
Tahun 1920-1930 an
- 200-500 patah perkataan
- Bentuk masih terpengaruh dengan sastera tradisional Melayu seperti pantun dan syair
- 65 buah cerpen hasil karya 42 orang cerpenis
Tahun 1940 an
- Kehadiran golongan wartawan dan guru menceburkan diri dalam bidang ini
- Tempoh kemuncak dengan jumlah karya yvang diterbitkan sebanyak 106 buah cerpen
Perkembangan Cerpen
Dekad 1990-1999 merupakan zaman kebangkitan penulis-penulis muda dalam genre cerpen. Shahnon Ahmad, Arena Wati dan Abdullah Hussain masih terus berkarya tetapi kurang sekreatif seperti sebelumnya. Nama-nama cerpenis yang menjadi perhatian ketika itu seperti Zaen Kasturi, S.M. Zakir, Mawar Shafei dan Marsli N.O (hanya menyebut beberapa nama sahaja). Mereka tidak hanya menghasilkan teks cerpen yang menarik, malah berjaya menghasilkan penulisan cerpen kumpulan dan antalogi (Mana Sikana, 2022: xviii).
Hamzah Hamdan & Siti Aisah Murad. 2004. Kesusasteraan Melayu Moden (1920-1940). Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.
Kesusasteraan Melayu Lama dan Baru. 2008. Penerbit Universiti Utara Malaysia.