19 Teori-teori Epistemologi

Beberapa teori yang dihasilkan oleh ahli falsafah dalam bidang epistemologi adalah Teori Koresponden, Teori Koherens, dan Teori Pragmatik. Teori Koresponden merujuk kepada kebenaran sebagai kesesuaian atau persamaan antara pernyataan (idea) dan pernyataan (realiti) atau fakta. Terdapat lima unsur yang perlu ada di dalam Teori Koresponden iaitu Pernyataan, Kesesuaian, Situasi, Pernyataan dan Keputusan. Kebenaran atau kepalsuan terletak pada kesesuaian antara subjek (apa yang diketahui) dan objek (realiti sebenar). Dengan kata lain, teori ini merujuk kepada perbandingan pernyataan yang dihasilkan dengan hakikat yang berkaitan dengan gambaran pernyataan tersebut. Kebenaran sesuatu pernyataan itu ditentukan oleh sama ada apa yang ditentukan oleh pernyataan itu adalah sepadan dengan hakikat yang ada di alam nyata. Suatu pernyataan dianggap benar jika isi kandungan pengetahuan bersesuaian dengan objek.

Kebenaran juga bergantung kepada sama ada apa yang dinyatakan oleh ayat atau pernyataan itu adalah sama atau serupa dengan hakikat yang ada di luar sana seperti yang digambarkan oleh ayat dan pernyataan itu. Sebagai contoh, pernyataan “Sekarang ini musim kemarau” dibuktikan benar jika pada hakikatnya pada masa itu memang berlaku musim kemarau. Teori kebenaran ini bagaimanapun mempunyai kelemahannya yang tersendiri. Contohnya bagaimana kita boleh membuat perbandingan antara pernyataan dengan teori jika kita tidak berhadapan dengan realiti ataupun realiti tersebut tidak jelas seperti situasi alam ghaib misalnya.

Teori Koherens merujuk kepada kriteria yang digunakan untuk menentukan sama ada sesuatu pernyataan itu benar atau palsu. Teori ini diaplikasikan dengan membandingkan sesuatu pernyataan dengan pernyataan lain yang berkaitan dengannya. Suatu pernyataan boleh dianggap benar sekiranya hubungan antara setiap pernyataan tersebut adalah konsisten. Dengan kata lain, suatu pernyataan dianggap benar bila ia bersifat koheren atau konsisten dengan pernyataan-pernyataan sebelumnya yang dianggap benar atau pertimbangan adalah benar jika ia bersifat konsisten dengan pertimbangan lain yang telah diterima kebenarannya serta berkesinambungan menurut logik. Ia lebih sepadan dengan kebenaran rasional dan idealisme subjektif. Sebagai contoh, pernyataan ’A menyebabkan kecederaan parah kepada B’ boleh dibuktikan benar dengan membandingkan pernyataan ini dengan pernyataan-pernyataan yang lain seperti, ’terdapat cap jari A pada senjata yang digunakan dalam insiden tersebut’ dan ’A adalah orang yang terakhir yang keluar dari rumah B’. Hal ini menunjukkan kebenaran kerana wujud perkara yang konsisten antara setiap pernyataan dan bersifat logik.

Teori Koherens dianggap benar jika boleh dibuktikan benar tetapi jika sebaliknya pernyataan yang berlaku bertentangan dengan maklumat baharu, maka teori ini akan digugurkan atau dibatalkan. Kelemahan teori ini adalah antara idea pernyataan pertama dan kedua, hanya ada kerahsiaan dan bukannya kebenaran. Terdapat juga pernyataan yang boleh mengelirukan kerana suatu penyataan hanya akan benar jika tidak ada penyataan yang berlawanan dengan pernyataan yang sebelumnya.

Teori Pragmatik, di sisi lain, adalah teori kebenaran yang menekankan pada kegunaan praktikal atau manfaat dalam kehidupan. Teori ini bersifat eksperimental dan sering digunakan dalam konteks sains. Misalnya, untuk membuktikan bahawa suatu teori atom itu benar, maka perlu ada satu eksperimen berdasarkan kepada teori itu.Kebenaran dalam Teori Pragmatik diukur berdasarkan kegunaan praktikalnya, meskipun mungkin bergantung pada pernyataan yang bersifat mikroskopik dan tidak selalu dapat dibuktikan secara langsung dengan perbandingan terhadap hakikat yang zahir. Justeru, kebenaran bukanlah keutamaan bagi teori ini. Kepalsuan boleh diperolehi dengan hujah-hujah rasional sedangkan tarikan pragmatisme adalah manfaat jangka pendek yang sengaja diada-adakan. Kelemahan teori ini adalah ia bersifat relatif dan berubah ubah mengikut peredaran zaman. Suatu pernyataan mungkin tidak benar kecuali dalam keadaan tertentu, dan teori ini lebih mementingkan kegunaan daripada kebenaran mutlak.

Berdasarkan penerangan mengenai Teori Koresponden, Teori Koherens, dan Teori Pragmatik dalam bidang epistemologi, dapat disimpulkan bahawa setiap teori mempunyai pendekatan tersendiri terhadap konsep kebenaran. Teori Koresponden menekankan pada kesesuaian antara pernyataan dengan hakikat yang ada di alam nyata, di mana kebenaran bergantung kepada konsistensi antara apa yang dinyatakan dengan realiti yang diamati. Sementara itu, Teori Koherens menilai kebenaran berdasarkan konsistensi hubungan antara pernyataan dengan pernyataan lain yang berkaitan. Keberkesanan teori ini bergantung kepada konsistensi dan koherensi antara pernyataan yang dianggap benar sebelumnya. Manakala Teori Pragmatik memberi penekanan pada kegunaan praktikal suatu pernyataan dalam kehidupan. Kebenaran dalam konteks ini diukur melalui manfaat praktikalnya, dan teori ini cenderung bersifat eksperimental, terutamanya dalam konteks sains.

Walau bagaimanapun, setiap teori juga mempunyai kelemahan masing-masing. Teori Koresponden mungkin sukar diterapkan dalam situasi di mana realiti tidak jelas atau bersifat ghaib. Teori Koherens mungkin berisiko kehilangan kebenaran jika terdapat pertentangan antara pernyataan. Teori Pragmatik pula cenderung bersifat relatif dan boleh berubah mengikut peredaran zaman. Kesimpulannya, pemahaman terhadap ketiga-tiga teori ini memberi wawasan yang komprehensif terhadap bagaimana kebenaran dinilai dan difahami dalam konteks epistemologi. Setiap teori memberikan pandangan yang berbeza dan panduan untuk menilai kebenaran dengan pendekatan yang unik.

Uji Kefahaman Anda

License

Icon for the Creative Commons Attribution 4.0 International License

Asas Pemikiran Falsafah Copyright © 2024 by Habibah Artini Ramlie is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License, except where otherwise noted.

Share This Book