18 Syarat-syarat Epistemologi

Terdapat tiga syarat berkenaan dengan konsep ilmu. Syarat pertama adalah kepercayaan tentang apa yang dipegang atau dipercayai itu sebagai ilmu. Kepercayaan adalah asas ilmu yang membolehkan seseorang mempercayai apa yang mereka ketahui. Syarat kedua adalah apa yang dipercayai itu mesti benar. Sekiranya palsu, maka ianya tidak dikira sebagai ilmu. Namun, adalah tidak memadai dengan hanya mempercayai bahawa perkara itu adalah benar semata-mata kerana keterbukaan untuk menghadapi realiti dan menguji hipotesis adalah teras kebenaran saintifik. Manakala syarat ketiga adalah kepercayaan itu mesti mempunyai asas atau justifikasi. Ilmu perlu berdasarkan kepada bukti dan fakta yang dapat diuji.  Ketiga-tiga syarat ini harus ada, dan hanya dengan memenuhi ketiga-tiga syarat ini, suatu perkara boleh dianggap sebagai ilmu. Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka perkara tersebut tidak akan lengkap untuk dianggap sebagai disiplin ilmu.

Persoalan epistemologi menjadi semakin penting apabila dunia berhadapan dengan persoalan baharu berkenaan sumber pengetahuan dan kebenaran. Konsep kebenaran mutlak menjadi perdebatan kerana lahirnya fakta bahawa maklumat boleh diubah dan tafsiran subjektif boleh dibuat. Dalam menangani isu ini, epistemologi dan falsafah berfungsi sebagai asas untuk menilai sumber pengetahuan, memahami kesan etika dan mencipta asas nilai. Persoalan asas epistemologi ’Bagaimana kita mengetahui sesuatu?’ juga telah mendorong seseorang untuk merenung sumber ilmu dan hadnya. Epistemologi bukan sahaja merupakan bidang falsafah, tetapi ia juga menyediakan asas pemahaman tentang dunia sebenar dan masalah yang dihadapi hari ini. Persoalan asas epistemologi telah menjadi panduan yang kukuh untuk meneroka, memahami, dan mengatasi kerumitan ilmu dan kehidupan apabila ia dikaitkan dengan falsafah dan digunakan dalam konteks isu semasa. Dalam menghadapi kerumitan isu kontemporari, pemikiran kritis dan reflektif tentang proses pengetahuan menjadi semakin penting. Kita perlu mempersoalkan kebolehpercayaan data, meneroka andaian yang mendasari pemahaman kita di samping memahami bagaimana konteks sosial, budaya dan sejarah mempengaruhi pembinaan pengetahuan. Dalam menangani isu semasa juga, epistemologi bukan sekadar persoalan falsafah, tetapi menjadi alat praktikal untuk mengurus maklumat dan panduan tindakan. Justeru dengan memahami asas-asas epistemologi, seseorang boleh membangunkan kerangka pemikiran yang lebih kukuh dalam menghadapi cabaran dan perubahan yang terus berkembang dalam dunia moden. Pemahaman epistemologi yang mendalam juga membantu seseorang individu dan ahli masyarakat untuk membuat keputusan yang lebih baik dalam sesuatu perkara.

Uji Kefahaman Anda

License

Icon for the Creative Commons Attribution 4.0 International License

Asas Pemikiran Falsafah Copyright © 2024 by Habibah Artini Ramlie is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License, except where otherwise noted.

Share This Book