14 Sistem Metafizik Berkaitan Fahaman Keagamaan

Sistem metafizik yang berkaitan dengan pemahaman keagamaan melibatkan perbincangan tentang Atheisme, Politheisme, dan Agnostisisime. Atheisme merujuk kepada keyakinan bahawa Tuhan tidak wujud. Pemahaman ini mengakui realiti alam ini hanya terbatas kepada kewujudan entiti-entiti yang nyata seperti manusia, alam sekitar, objek-objek fizikal, dan mungkin juga idea. Bagi penganut Atheisme, Tuhan dianggap sebagai entiti yang berbeza dan tidak wujud. George H Smith (1979) mengklasifikasikan atheisme kepada dua jenis, iaitu Atheisme implisit (ketidakpercayaan kepada Tuhan tanpa penolakan Tuhan secara sedar) dan Atheisme eksplisit (ketidakpercayaan kepada Tuhan disebabkan penolakan Tuhan secara sedar). Atheisme eksplisit menolak kepercayaan kepada Tuhan atas beberapa faktor seperti ketiadaan bukti yang memadai mengenai kewujudan Tuhan, pertentangan konsep tentang Tuhan, dan konsep Tuhan yang tidak dapat difahami.

Theisme adalah fahaman yang meyakini kewujudan Tuhan, walaupun kewujudan Tuhan mungkin tidak dapat dikesan melalui cara-cara biasa seperti melalui pancaindera mahupun  akal yang rasional. Fahaman ini terbahagi kepada beberapa kategori termasuk Monotheisme dan Politheisme. Monotheisme menyatakan bahawa Tuhan itu satu-satunya, yang bermakna Tuhan wujud tetapi kewujudannya adalah Tunggal atau Esa. Penganut fahaman ini menekankan keEsaan Tuhan seperti fahaman Tauhid dalam Islam. Di sisi lain, Politheisme menyatakan bahawa Tuhan itu wujud, tetapi kewujudanNya adalah lebih daripada satu. Fahaman ini dipegang oleh penganut agama yang menyatakan bahawa Tuhan itu adalah lebih daripada satu atau banyak. Walaupun demikian, mereka tidak menafikan kewujudan Tuhan.

Dalam fahaman Theisme, terdapat juga fahaman seperti Pantheisme (kepercayaan bahawa Tuhan adalah alam), Panentheisme (kepercayaan bahawa Tuhan hadir dalam alam tetapi bebas daripada alam), dan Deisme (kepercayaan bahawa Tuhan wujud dan mencipta alam tetapi tidak mengambil bahagian dalam urusan alam, tidak berinteraksi dengan manusia, tidak mendengar doa, dan seumpamanya).

Manakala fahaman Agnostisisme menyatakan bahawa sama ada Tuhan itu wujud atau tidak adalah tidak dapat diketahui kerana pemahaman dan kemampuan manusia untuk mengenali alam melalui deria dan pemikiran adalah terhad. Perkara ini menjadi kekangan terhadap kemampuan manusia untuk mengetahui realiti yang wujud. Seorang agnostik menerima kemungkinan ‘Tuhan Wujud’ tetapi percaya bahawa ia tidak dapat dibuktikan benar mahupun palsu. Jika dilihat dari segi epistemologi, menurut Kenny (1983), agnostisisme mengakui bahwaa hujah yang menyokong kewujudan Tuhan dan hujah yang menentangnya adalah tidak pasti kerana kedua-duanya dianggap tidak meyakinkan. Dengan kata lain, oleh kerana pemahaman manusia terhadap sesuatu adalah terbatas, aspek kewujudan Tuhan samada ada atau tidak ada adalah tidak dapat diketahui.

Uji Kefahaman Anda

License

Icon for the Creative Commons Attribution 4.0 International License

Asas Pemikiran Falsafah Copyright © 2024 by Habibah Artini Ramlie is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License, except where otherwise noted.

Share This Book