5 Sejarah Falsafah
Menurut penulisan James Garvey dan Jeremy Stangroom (2012), sejarah falsafah menjangkau ribuan tahun dengan sumbangan pemikiran para sarjana dari pelbagai budaya dan tempoh masa. Ia dikatakan bermula pada era Yunani. Kemegahan era Yunani merujuk kepada peralihan intelektual yang ketara berlaku di Greece purba khususnya di bandar Miletus dan beberapa penempatan Yunani yang menandakan kelahiran falsafah dan penciptaan rasionaliti. Sebelum peralihan intelektual ini, tamadun purba termasuk masyarakat Mesir dan Babylon bergantung pada mitos, Tuhan dan penjelasan ghaib untuk memahami dunia. Aplikasi praktikal geometri dan matematik untuk orang Mesir dan Babylon didorong terutamanya oleh keperluan masyarakat masing-masing. Masyarakat Mesir sebagai contoh mempunyai sistem pencukaian berdasarkan tanah yang memerlukan pengetahuan geometri. Petani perlu mengira kawasan permukaan yang tenggelam di bawah air semasa banjir Nil untuk menuntut pengurangan cukai. Oleh itu, mereka mengembangkan kemahiran dalam geometri untuk memenuhi keperluan praktikal ini. Sebaliknya, masyarakat Babylon mempunyai pengaruh agama yang kuat dalam kehidupan seharian. Pemahaman tentang pergerakan planet dan bintang begitu berkait rapat dengan kepercayaan agama mereka. Dengan mengkaji benda-benda angkasa, masyarakat Babylon meyakini bahawa mereka boleh mendapatkan pandangan tentang kehendak Tuhan dan meramalkan peristiwa yang akan memberi kesan kepada kehidupan mereka. Bidang Matematik memainkan peranan dalam menentukan pertukaran musim dan meramal pergerakan objek-objek di langit. Ringkasnya, masyarakat Mesir menggunakan geometri untuk tujuan praktikal seperti percukaian manakala masyarakat Babylon menggunakan Matematik khususnya berkaitan pemerhatian cakerawala untuk memahami dan mengemudi kepercayaan agama dan kehidupan seharian mereka.
Walau bagaimanapun, masyarakat pemikir di Miletus, di sebuah bandar Yunani pada era berkenaan telah mula mempersoalkan dunia sekeliling dan berusaha untuk memberikan alasan logik untuk menyokong kepercayaan mereka. Mereka menolak perkara-perkara yang bersifat dakwaan semata-mata dan berkeras menggunakan hujah yang rasional untuk menyokong apa yang mereka anggap benar. Masalah asas yang dikaji oleh mereka adalah menentukan bahan asas atau komponen yang menjadi sumber terbentuknya segala benda di dunia iaitu tanah, air, udara, dan api (Awang Sariyan, 2007). Sebelum peralihan ini, masyarakat Yunani bergantung kepada Tuhan dan penjelasan ghaib untuk memahami dunia. Mereka juga mempunyai kepercayaan yang bersumberkan mitos ataupun cerita-cerita kuno. Pemikiran secara logik tidak berlaku pada masa itu kerana yang berlaku hanya kebenaran bersumber dari mitos sahaja. Kemudian muncul ahli-ahli pemikir yang menentang kepercayaan mitos. Mereka menuntut adanya jawapan daripada misteri mengenai sejarah perkembangan semesta dengan jawapan yang dapat diterima logik akal. Dengan munculnya fahaman atau pemikiran para ahli tersebut, segelintir pemikir di Miletus mula menimbulkan persoalan baru dan mencari kesimpulan yang munasabah. Mereka mencipta rasional dengan memperkenalkan kesimpulan yang beralasan sebagai jawapan kepada persoalan falsafah mereka.
Perkembangan falsafah pada masa tersebut terbahagi kepada beberapa era seperti berikut iaitu pertama, era pra-Socrates (600-450 S.M.). Kedua, era Sofis. Ketiga, era Socrates. Keempat, era Plato dan kelima, era Aristoteles. Era pertama merupakan era awal kemunculan falsafah Yunani. Ia dinamakan sebagai era pra-Socrates kerana era tersebut berlaku sebelum kemunculan Socrates (Mohd. Annas, 2019) dan kalangan ahli falsafah terawal (500-600 SM) dikenali sebagai sofis. Para sofis terkemuka antaranya adalah Socrates, Plato dan Aristotle. Falsafah menurut mereka adalah ilmu bahasa, retorik dan ilmu yang terbit daripada pemikiran para sarjana yang ingin mengetahui hikmah kejadian sesuatu serta perkara-perkara makrifat/hakikat bagi pembersihan diri. Menurut Socrates (469-399 SM), falsafah adalah kajian alam tabii secara teori untuk mengenal diri sendiri. Manakala menurut Plato (427-347 SM) dan Aristotle (384-322 SM), falsafah adalah kajian berhubung perkara-perkara azali dan abadi bagi mengharmonikan kepercayaan mistik atau agama dalam pemikiran. Plato umpamanya bergiat memahami kebenaran dan kebaikan serta tanggapan yang lebih betul atau pasti tentang Tuhan bagi mengimbangi pemikiran mitos Yunani pada ketika itu. Beliau juga cuba mencontohi Tuhannya kerana baginya kegiatan ini perlu dilakukan oleh setiap manusia yang bersedia untuk menghadapi maut. Di samping itu, beliau juga giat berdialog serta melakukan amalan mistik. Aristotle pula mengkaji sebab-musabab dan asas segala benda, perkara metafizik yang mengkaji soal kewujudan (being) di samping bergiat membangunkan fizik, etika, estetik, psikologi, retorik serta taakulan intuisi (Shaharir, 2018).
Pendekatan baharu untuk memahami dunia berdasarkan rasional dan penaakulan logik ini membezakan masyarakat Yunani dari budaya masyarakat lain pada masa itu. Era Yunani kuno ini juga disebut sebagai zaman falsafah alam kerana pada tempoh ini bermula kemunculan para ahli pemikir yang menumpukan perhatian kepada apa yang berada di alam sekitar. Mereka menimbulkan persoalan tentang gejala alam yang bersifat logik dan mencari asas yang utama dari alam semesta (James Garvey & Jeremy Stangroom, 2012). Pemikiran dan falsafah sejarah Yunani juga menjadi teras kepada pemikiran dan falsafah sejarah Barat pada hari ini (Mahayudin, 2009).
Uji Kefahaman Anda