15 Penghujahan Menyokong Kewujudan dan Ketidakwujudan Tuhan

Terdapat beberapa hujah yang menyokong kewujudan dan ketidakwujudan Tuhan. Hujah yang menyokong kewujudan Tuhan termasuklah hujah Kosmologi, hujah Teleologi, dan hujah Ontologi. Dalam hujah Kosmologi, tokoh seperti Plato, Aristotle, Aquinas, Ibn Sina, Al-Ghazali, Descartes, Leibniz, Clarke, Craig, Meyer, Koons, Gale, dan Pruss, serta Swinburne menyatakan bahawa Tuhan perlu wujud untuk membuktikan kewujudan alam semesta. William Lane Craig dan James D. Sinclair (2009) membentangkan hujah kalam-kosmologi, yang menyatakan bahawa segala yang bermula untuk wujud perlu mempunyai sebab permulaannya, dan oleh itu, alam semesta memerlukan sebab untuk wujud.

Hujah Teleologi pula dibahaskan oleh tokoh-tokoh seperti Plato, Aristotle, Cicero, Augustine, Al-Farabi, Ibnu Sina, Al-Ghazali, Ibn Rusyd, Maimonides, Aquinas, Tennant, dan Hackett. Hujah teleologi yang terkenal adalah yang dikemukakan oleh William Paley (1829). Beliau menyatakan bahawa alam semesta ini direka dengan tujuan dan memerlukan Pencipta yang bijak. Melalui pemerhatian terhadap alam, beliau menegaskan alam semesta ini semestinya mempunyai Pencipta yang bijak yang berkuasa mencipta segala sesuatu meskipun kejadian alam bersifat kompleks.

Hal ini menunjukkan hujah Kosmologi dan Teleologi bergantung kepada premis yang boleh dikenali melalui pencerapan dan pengalaman terhadap alam semesta. Hujah Ontologi, sebaliknya, menyatakan bahawa kewujudan Tuhan boleh dibuktikan melalui akal semata-mata tanpa melibatkan pancaindera mahupun pengalaman seseorang. Penghujahan Ontologi merujuk kepada sifat tabii Tuhan yang boleh difikirkan oleh akal tanpa melihat kejadian alam seperti yang diyakini oleh golongan yang buta misalnya. Persamaan jelas antara hujah Kosmologi, Teleologi, dan Ontologi adalah bertujuan untuk membuktikan wujudnya Tuhan.

Uji Kefahaman Anda

Namun, terdapat satu hujah yang cuba membuktikan ketidakwujudan Tuhan yang dikenali sebagai Permasalahan Kejahatan. Hujah ini menyatakan bahawa kewujudan Tuhan bertentangan dengan kewujudan kejahatan di dunia. Epicurus menyokong permasalahan kejahatan dengan menyatakan bahawa jika Tuhan Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, dan sempurna baik, maka kejahatan sepatutnya tidak wujud. Hujah ini disanggah oleh pandangan tokoh lain yang menyatakan bahawa kejahatan diperlukan untuk membangun dan menguatkan jiwa seseorang. Plantinga dalam gagasan Free Will Defense pula menyatakan bahawa dunia dengan makhluk bebas lebih baik daripada dunia tanpa kebebasan (Daniel Howard-Snyder & John O’Leary-Hawthorne, 1998). Dalam hal ini, sebahagian besar ahli-ahli teologi mempercayai bahawa Tuhan merupakan sebab utama bagi segala-galanya di alam tabii ini. Manusia merupakan sebab alatan bagi semua perlakuan mereka. Tidak dinafikan kepercayaan seperti ini menimbulkan banyak persoalan seperti sejauh manakah manusia bebas bertindak? Jika manusia hanya merupakan sebab alatan bermakna manusia tiada pilihan, manusia hanya bertindak terhadap sebab utama-Nya sahaja. Tetapi perlu ditegaskan bahawa manusia masih mempunyai pilihan untuk melakukan yang baik atau yang buruk (bukan ditetapkan oleh Tuhan) (Abdul Latif, 1993).

 

License

Icon for the Creative Commons Attribution 4.0 International License

Asas Pemikiran Falsafah Copyright © 2024 by Habibah Artini Ramlie is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License, except where otherwise noted.

Share This Book