2 Konsep Falsafah

Falsafah merupakan satu bentuk pemikiran manusia dalam mencari sesuatu yang ingin diketahui oleh dirinya sendiri. Sebagai contoh, tentang apabila manusia ingin mengetahui sesuatu perkara seperti kebenaran (Hashim, 2001). Apabila seseorang ingin mengetahui atau memahami sesuatu kebenaran seperti hal agama misalnya, mereka akan mengkaji dalam pelbagai perkara dengan menggunakan kitab-kitab serta cara lain dalam menjawab persoalan berkaitan keagamaan. Contohnya seperti persoalan ‘Adakah agama satu kebenaran?’ atau ‘Apakah agama yang benar di dunia ini?’. Ia berbalik kepada ponsep bahawa falsafah pada awalnya merupakan buah fikiran serta persoalan tentang sesuatu perkara yang kemudiannya dijadikan sebagai pandangan dan pegangan. Ada yang mendefinisikan falsafah sebagai alat yang mempunyai kegunaan. Ada juga yang mendefinisikan falsafah sebagai satu keperluan dalam memahami ilmu. Dengan kata lain, falsafah sebenarnya adalah suatu ilmu yang menjadi asas kepada kewujudan ilmu-ilmu baru dalam mencapai sesuatu tujuan kehidupan dan penciptaan.

Dalam dunia falsafah, seseorang itu mendapat inspirasi daripada pelbagai pandangan dan teori yang berbeza (Abdul Jalil, 1989). Falsafah membantu seseorang memahami aspek kehidupan yang kompleks yang mungkin tidak boleh diakses melalui pendekatan lain. Ia membantu menyelesaikan persoalan besar tentang alam semula jadi, moral dan makna. Falsafah juga merupakan ruang di mana seseorang itu boleh melatih dan mengasah kemahiran berfikir kerana falsafah menggalakkan pemikiran kritis dan analitikal. Hal ini membolehkan seseorang menilai idea dan pandangan tentang sesuatu perkara dengan lebih mendalam. Pemahaman dalam falsafah juga secara tidak langsung membantu individu membina identiti melalui cara bagaimana mereka berfikir kerana pemikiran adalah asas untuk memahami siapa diri kita. Ringkasnya, falsafah merupakan suatu usaha penting dalam memahami dan meringkaskan aspek kehidupan manusia yang mempunyai kesan mendalam terhadap pemikiran, nilai dan pembangunan masyarakat. Terdapat beberapa cabang dalam falsafah seperti epistemologi, etika, estetika, logik dan metafizik (Hashim, 2001). Cabang falsafah ini sangat penting kerana ia memainkan peranan penting dalam membentuk pandangan manusia.

Uji Kefahaman Anda

License

Icon for the Creative Commons Attribution 4.0 International License

Asas Pemikiran Falsafah Copyright © 2024 by Habibah Artini Ramlie is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License, except where otherwise noted.

Share This Book