22 Konsep Etika Dalam Kehidupan
Dalam kehidupan sehari-hari, etika merujuk kepada suatu perbuatan standard (standard of conduct) yang memimpin individu dalam melakukan sesuatu samada benar atau salah. Etika berkaitan dengan kebiasaan hidup seseorang individu mahupun masyarakat yang baik dan biasa diamalkan. Kebiasaan ini diturunkan dari satu generasi ke generasi berikutnya dan kemudian menjadi kaedah, peraturan atau norma yang diajarkan dalam masyarakat. Etika turut difahami sebagai ajaran yang mengatur perilaku manusia samada melalui perintah yang harus diikuti mahupun larangan yang harus dihindari (Muhammad Azhar, 2024).
Imam al-Ghazali Rahimahullah (1058 M-1111 M), seorang tokoh pemikir Islam, menyatakan etika sebagai akhlak yang mempunyai pengertian yang sangat luas dan mencakupi segala aspek kehidupan. Etika berkaitrapat dengan sikap dan tingkahlaku seseorang individu terhadap Tuhannya, sesama manusia dan antara manusia dengan alam. Konsep etika juga berkaitrapat dengan nilai. Nilai merupakan suatu prinsip umum yang menyediakan anggota masyarakat dengan ukuran atau standard untuk membuat pengadilan dan pemilihan berkaitan tindakan serta matlamat tertentu. Hal ini kerana dalam proses pemilihan sesuatu perkara, setiap individu dipengaruhi oleh sistem nilai, etika, minat serta pengalaman. Oleh itu, perlu difahami juga bahawa etika turut tidak dapat dipisahkan dengan masyarakat kerana persoalan etika adalah suatu komponen sosiopolitik yang mencorakkan dasar awam (Mahayudin, 2009).
Sila tonton video berikut;
“What is Ethics” by The Ethics Centre 2020 is licensed under CC BY 4.0