10 Keesahan dalam Logik
Setelah memahami tentang penghujahan dalam logik, perlu diketahui bahawa pernyataan umum yang terdapat dalam kesimpulan adakalanya tidak semestinya benar walaupun premis-premisnya benar. Keesahan kesimpulan yang dihasilkan tidak benar dan tidak dapat dibuktikan kerana berlakunya falasi atau kesilapan dalam berfikir. Terdapat dua jenis falasi iaitu falasi yang bersifat formal atau (formal fallacy) dan falasi yang bersifat tidak formal (informal fallacy). Falasi formal berlaku apabila kita tidak menggunakan peraturan-peraturan yang betul dalam logik deduktif dan induktif yang menyebabkan kita melakukan kesilapan ataupun falasi. Sebaliknya falasi informal tidak melibatkan pelanggaran apa-apa peraturan logik dalam menghasilkan kesimpulan daripada premis-premis yang dibincangkan. Sebagai contoh; i) Premis I : A wanita bertudung dan ii) Premis II : B wanita bertudung. Kesimpulan : semua wanita bertudung. Dalam aspek keesahan, kesimpulan premis ini kurang tepat kerana ia adalah satu kesilapan dalam berfikir atau dikenali sebagai ’falasi’. Fakta Premis I dan Premis II tidak dapat digeneralisasi untuk menghasilkan kesimpulan ‘semua wanita bertudung’ kerana konsep keesahan dalam berfikir perlu berbalik kepada analisis kebenaran serta penerimaan sesuatu perkara, sama ada benar atau salah, diterima atau tidak.