1 Maksud Falsafah

Falsafah berasal dari cantuman dua perkataan Greek iaitu philo dan sophia (membentuk philosophia) yang kemudiannya dalam Bahasa Inggeris menjadi philosophy. Perkataan Falsafah adalah dalam Bahasa Melayu tetapi asalnya dari perkataan Bahasa Arab iaitu فلسفة . Philo bermakna love ataupun cinta. Sophia bermakna wisdom dan boleh diterjemahkan sebagai kearifan atau kebijaksanaan. Apabila digabungkan, keduanya menjadi love of wisdom atau ‘cinta terhadap kebijaksanaan’ atau kearifan sebagai satu ciri kemanusiaan (Abdul Jalil, 1989; Awang Sariyan, 2007; Shaharir, 2018).

“Philosophy Word Cloud” by WordCloud Python is licensed under CC BY 4.0

Falsafah adalah asas kepada segala ilmu pengetahuan berasaskan renungan (reflection) dan penaakulan (reasoning). Ia merupakan peralihan satu cara berfikir yang sistematik dalam memahami asas dan makna kehidupan serta persoalan mendalam mengenai realiti, pengetahuan, moral serta kewujudan. Falsafah merupakan usaha manusia dalam memahami hakikat suatu benda mahupun perkara secara mendalam (Hashim, 2001). Kefahaman yang lebih mendalam menjadikan manusia dapat melakukan suatu amalan dan tindakan yang berkesan.  Konsep ini penting dalam kehidupan kerana ia membantu kita merenung tujuan dan nilai-nilai kita. Ia merangsang pemikiran kritikal, membolehkan kita membuat keputusan bermakna, dan memahami dunia dengan lebih khusus.

Dalam erti kata lain, falsafah membantu manusia agar merenung dan memahami sesuatu seterusnya membina asas untuk ilmu pengetahuan serta etika yang baik. Menerusi falsafah, kita dapat mengejar kebijaksanaan, bertindak secara bermakna, dan menjalani kehidupan yang lebih bertimbangrasa. Justeru, keperluan kepada falsafah adalah menjadi kepentingan kepada manusia sepertimana di dalam Islam, kita dituntut menggunakan akal untuk berfikir. Walaupun ia mungkin tidak terlibat dalam kehidupan harian semua orang namun ia memberi arah dan makna kepada pengalaman kita.

definition

License

Icon for the Creative Commons Attribution 4.0 International License

Asas Pemikiran Falsafah Copyright © 2024 by Habibah Artini Ramlie is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License, except where otherwise noted.

Share This Book