25 Perkembangan Ideologi Falsafah dalam Politik

Politik tidak dapat dipisahkan dengan ideologi serta falsafah pemikiran kerana falsafah itu sendiri sifatnya adalah menjangkaui aspek intelektual manusia (Sajjad, 2012). Dalam perkembangan falsafah, Revolusi Sains yang berlaku di Eropah pada abad ke-17 hingga abad ke-18 Masihi menyaksikan kemunculan tokoh-tokoh seperti Francis Bacon dan Immanuel Kant bersama idea untuk memantapkan metodologi saintifik (Mohd Syahmir, 2016). Kejayaan sains dan kaedah saintifik berteraskan penggunaan kaedah empirikal dan rasional dalam pencapaian ilmu manusia pada masa itu mencetuskan satu anjakan dan keyakinan untuk mencipta suatu kehidupan dan masyarakat baru. Ciri-ciri lama dalam masyarakat Medieval yang berteraskan keagamaan mula ditinggalkan oleh para pemikir modenis yang didasari oleh gerakan Enlightenment. Zaman Enlightment atau zaman pencerahan adalah rentetan dari zaman Renaissance yang berasaskan keagamaan. Para pemikir era tersebut seperti Rene Descartes, Charles Montesquieu, Jacques Rousseau, John Locke dan Thomas Hobbes mendalami falsafah rasionalisme yang dipelopori oleh ahli falsafah Yunani seperti Socrates, Plato dan Aristotle. Pegangan tersebut menjadikan mereka mempersoalkan kewajaran bergantung kepada kepercayaan agama semata-mata dengan pandangan bahawa masyarakat sebaliknya perlu digalakkan untuk berfikir dan membuat penaakulan secara empirikal dan sistematik (Mohd Zain, 2023).

Sesetengah ahli falsafah menyatakan fahaman ini diteruskan dengan The Enlightenment Project dengan adanya kejayaan sains dan pencapaian dalam bidang fizik, astronomi, kimia dan sebagainya yang mengukuhkan lagi pandangan ahli-ahli falsafah seperti ini. Mereka beranggapan bahawa menerusi akal fikiran yang rasional, ilmu sains dan kaedah saintifik, sesuatu kejayaan dan pencapaian dalam kehidupan seharusnya dicipta atas dasar kemanusiaan dan tidak lagi atas dasar keagamaan. Keyakinan ini diteruskan di abad ke-20 dengan kemunculan ahli-ahli falsafah baru seperti Bertrand Russell dan Karl Popper. Bidang sains menjadi kayu ukur kebenaran dalam semua bidang pengetahuan dan aspek kehidupan. Konsep modenisasi terus berkembang di Eropah dalam pelbagai aspek merangkumi ekonomi dan sosial termasuklah dalam bidang politik. Ia tercetus menerusi aspirasi golongan cendekiawan terhadap penyatuan kerajaan, penciptaan negara serta hak yang lebih bagus untuk golongan kebanyakan dalam usaha menggantikan kekuasaan golongan gereja dan aristokrat ternama. Kemuncak era ini adalah Revolusi Perancis yang tercetus pada tahun 1789 dengan slogan ’liberty, equality and fraternity’ (kebebasan, kesamaan dan persaudaraan) dalam usaha mengubah sistem aristokrat Perancis dan menegaskan kuasa serta kehendak rakyat (Mohd Zain, 2023).

License

Icon for the Creative Commons Attribution 4.0 International License

Asas Pemikiran Falsafah Copyright © 2024 by Habibah Artini Ramlie is licensed under a Creative Commons Attribution 4.0 International License, except where otherwise noted.

Share This Book